comscore
Tumpuan :
Nasional

Media perlu pupuk budaya baharu kewartawanan

IPOH: Perdana Menteri mahu penggiat media di negara ini memupuk kesedaran dalam usaha mewujudkan budaya baharu dalam industri kewartawanan.

Menyingkap teladan ditonjolkan tokoh wartawan terdahulu, Perdana Menteri berkata, nilai yang mereka pupuk dalam kerja dibuat berdasarkan prinsip dan nilai yang boleh memberi manfaat kepada rakyat, apabila terarah menjadi pencetus kesedaran kebangsaan.

Beliau berkata, wartawan zaman dulu juga berperanan sebagai penggagas idea, selain bertindak menjadi pencetus gerakan perubahan.

“Kita singkap sebentar liputan bersejarah wartawan Perak tetapi kita sedia maklum, wartawan di negara kita sebenarnya juga adalah penggalas idea, pencetus semangat kemerdekaan, penyemai benih kesederhanaan dan pengislahan.

“Ia termasuk Za’ba yang membawa islah atau perubahan. Tokoh kebangsaan lain iaitu Kajai, A Samad Said, Osman Awang yang merupakan pemain utama dalam menjayakan pusat baharu.

“Ada babak-babak cemas bila berlaku mogok Utusan kerana usaha penggagas idea ketika itu, pencetus benih kesedaran kebangsaan yang mahu mempertahankan kebebasan media sebagai suara hati nurani rakyat.

“Kemudian apabila wartawan cuba memberi teguran, kritikan…(akhbar) The Star pernah diharamkan. Saya singkap pengalaman ini untuk tunjukkan bahawa perjuangan dalam kalangan wartawan yang mempunyai idea, prinsip dan nilai tidak semestinya mudah.

“Jadi acara HAWANA (Hari Wartawan Nasional) ini harus dimanfaatkan untuk menyatakan penghargaan kita (kerajaan) kepada mereka (pengamal media).

“Mudah-mudahan semangat yang ditanam itu dengan memupuk nilai dapat disemai dalam kalangan wartawan muda,” katanya ketika berucap merasmikan HAWANA 2023, di sini hari ini.

Loading...
Terkini