comscore
Tumpuan :
Nasional

Media Prima bolot hadiah utama Anugerah Media SPRM 2022

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Media Prima Berhad mengungguli Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2022 apabila membolot kedua-dua kategori utama yang dipertandingkan.

Laporan berita TV3 iaitu ‘SPRM, Syarikat Utiliti Gempur Premis Curi Elektrik Lombong Bitcoin’ dinobatkan pemenang utama kategori media elektronik yang dihasilkan pengarang, Ing Boon Seng dan wartawan, Juliana Sharin serta jurukamera, Mohd Jufri Judin.

Laporan itu disiarkan pada 28 Februari 2022 di Buletin Utama yang memaparkan operasi besar-besaran di lebih 20 premis di seluruh negara terhadap sindiket melombong mata wang kripto bitcoin.

Sindiket terbabit telah menjalankan kegiatan mencuri elektrik dan menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Hadiah berupa trofi, sijil dan wang tunai RM6,000 disampaikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Majlis Malam Anugerah Media SPRM, di sini hari ini.

Anugerah Juri kategori media elektronik pula dirangkul wartawan RTM, Nurul Asmawati Harun menerusi berita bertajuk ‘Budaya Antirasuah Perlu Dipupuk Lebih Meluas’.

Sementara itu, wartawan Berita Harian (BH), Mohd Abdul Illah Hafiz Abdul Aziz diumumkan pemenang utama bagi kategori media cetak menerusi kupasan berita mengenai ‘Pelan Antirasuah Nasional’.

Kupasan berita tersebut diterbitkan secara bersiri pada 16, 17 dan 19 April 2022 yang memaparkan mengenai Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang belum mencapai sasaran serta pengecilan fungsi dan kuasa Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) yang tersebar.

Beliau turut membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM6,000.

Mohd Abdul Illah Hafiz juga memenangi Anugerah Juri I kategori media cetak bersama rakan setugas, Suzalina Mohd Halid menerusi laporan berita bertajuk ‘Kolam Takungan Banjir’ yang diterbitkan pada 5 Januari sehingga 12 Mei 2022.

Mereka membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM4,000.

Terdahulu, Azam dalam ucapannya mahu pegawai dan warga SPRM sentiasa peka dan mahir menggunakan teknologi terkini dalam memastikan penyampaian maklumat yang efisien dan jelas kepada masyarakat.

Ujarnya, warga SPRM perlu berubah daripada segi pendekatan dan tidak boleh mengikut cara lama lagi dalam menyampaikan atau mencari maklumat dan seumpamanya.

“Berkaitan hal ini, saya sering menasihati pegawai-pegawai saya agar menjadi ‘muda mengikut zaman’ atau dalam erti kata lain sentiasa mengikut trend teknologi semasa.

“Media juga tidak boleh berada di takuk lama. Media arus perdana, yang sering menjadi rujukan utama kami, perlu meneroka untuk mendapatkan maklumat sebenar,” katanya.

Azam berkata media merupakan perantara yang amat penting dalam memainkan peranan sebagai penghubung antara pemerintah dan rakyat yang mana jambatan perantara inilah yang membolehkan maklumat mengalir secara dua hala.

Beliau berkata kuasa media sebagai tunjang keempat dalam demokrasi yang mampu memantau, mendidik, memberi amaran malah mendedahkan kepincangan atau salah laku yang berlaku dalam kerajaan dan masyarakat.

“Oleh sebab itu, kuasa media mampu mewujudkan persepsi, baik positif atau negatif, serta mampu mengalih atau menumpukan perhatian terhadap individu atau sesuatu isu.

“Malah, lebih daripada itu, media juga mampu menaikkan atau menjatuhkan sesebuah organisasi atau kerajaan. Itulah kuasa media di bawah suntingan pengarang,” katanya.

Loading...
Terkini