comscore
Tumpuan :
Nasional

Melaka tuan rumah Hari Olimpik Sedunia

Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Melaka bakal menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Olimpik Sedunia, Julai ini sempena Sukan Olimpik Paris 2024.

Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Ayer Keroh di sini dipilih menjadi ‘venue’ bagi sambutan berkenaan.

“Kita menjangkakan sambutan Hari Olimpik Sedunia ini melibatkan 10,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian program yang akan dimuktamadkan kelak.

“Jika tahun lalu, sambutan ini diadakan di Pulau Pinang, tahun ini Melaka akan menjadi tuan rumah dan Insya-Allah, program yang hampir sama akan kita anjurkan.

“Pada masa sama, kita juga akan menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik selain menjemput atlet negara yang pernah mengharumkan nama negara dalam sukan Olimpik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sambutan Kayuhan Basikal Sempena ‘The Spirit Of Olympism 2023 Fundraising Campaign di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Olimpian Malaysia, Noraseela Mohd Khalid dan Pemegang Malaysia Book of Records sebagai rakyat Malaysia pertama menamatkan 10 Marathon Terbaik Dunia, Alex Goh.

Menurut Nur Azmi, program Spirit Of Olympism 2023 yang dianjurkan itu adalah usaha terbaik dalam memperkenalkan wira sukan negara di Sukan Olimpik kepada generasi muda.

“Apabila program ini diadakan di Melaka, anak-anak muda dapat mengenali beberapa bekas atlet negeri ini yang pernah membawa nama negara di temasya sukan terbesar dunia seperti Datuk Soh Chin Ann, Datuk Mirnawan Nawawi dan lain-lain lagi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Olimpian Malaysia (MOA), Noraseela Mohd Khalid berkata, menerusi program itu, pihaknya mahu menyuntik kembali semangat golongan muda dalam menyokong atlet dan bidang sukan di negara ini.

Ujarnya, ia berikutan ramai yang tidak menyedari bahawa sukan mampu menzahirkan nilai-nilai murni dan memupuk semangat cintakan negara.

Justeru, tambah beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mempertingkatkan lagi semangat kenegaraan menerusi sukan.

Loading...
Terkini