comscore
Tumpuan :
Sukan

England, Perancis pasukan pilihan Euro 2024

Undian peringkat kumpulan Euro 2024 berlangsung di Hamburg, Jerman, malam tadi – FOTO REUTERS

HAMBURG: Tuan rumah, Jerman akan berdepan Scotland dalam aksi pembukaan Euro 2024 di Munich, manakala juara bertahan, Itali diundi bersama Sepanyol dalam satu kumpulan.

Juara tiga kali, Jerman akan menyingkap tirai kejohanan di Munich pada 14 Jun, dengan final berlangsung di Stadium Olimpik Berlin pada 14 Julai.

Jerman diundi bersama Hungary, yang mempunyai rekod tanpa kalah sepanjang kempen kelayakan, dan Switzerland, dalam Kumpulan A.

Croatia dan Albania menyertai Itali serta Sepanyol dalam Kumpulan B, manakala Kumpulan C menampilkan Slovenia, Denmark, Serbia dan England.

Berada di kedudukan ketiga dalam ranking dunia FIFA, England kini dilihat sebagai pencabar utama untuk memenangi Euro bersama Perancis, pasukan yang mengetepikan mereka daripada Piala Dunia tahun lalu di suku akhir.

“Kami ketiga terbaik dunia. Kami berada dalam kelompok lima teratas selama lima tahun, pemain menunjukkan aksi konsisten jadi saya rasa mereka sudah biasa dengan itu,” kata pengendali England, Gareth Southgate.

Di bawah kendalian Southgate, England mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan tewas pada perlawanan akhir Euro 2020 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Itali, sebelum kekalahan 2-1 kepada Perancis dalam aksi lapan terakhir di Qatar tahun lalu.

Kumpulan A – Jerman, Scotland, Hungary, Switzerland

Kumpulan B – Croatia, Albania, Itali, Sepanyol

Kumpulan C – Slovenia, Denmark, Serbia, England

Kumpulan D – Belanda, Austria, Perancis serta pemenang play-off antara Poland, Wales, Finland dan Estonia.

Kumpulan E – Belgium, Slovakia, Romania dan pemenang play-off antara Israel, Bosnia, Ukraine dan Iceland.

Kumpulan F – Turkiye, Portugal, Republik Czech dan pemenang play-off antara Georgia, Greece, Kazakhstan dan Luxembourg. – AGENSI

Loading...
Terkini