comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

[VIDEO] Mempelai diarak dengan lima jengkaut

Pasangan mempelai, Mohamad Jamalluddin Wak Yan dan Nurul Eleeyana Najihan Zaid Hamidi berdiri di atas jengkaut sebelum diarak dan diiringi empat lagi jengkaut lain di majlis perkahwinan mereka yang diadakan di Felda Gelanggi Dua, Jerantut hari ini. – FOTO: NSTP

JERANTUT: Sepasang mempelai diarak dan diiringi dengan lima jentera jengkaut di majlis perkahwinan mereka yang diadakan di Felda Gelanggi Dua, dekat sini hari ini.

Mendahului perarakan itu ialah mempelai terbabit, Mohamad Jamalluddin Wak Yan, 27, dan pasangannya Nurul Eleeyana Najihan Zaid Hamidi, 18.

Baki empat lagi jengkaut dinaiki rombongan keluarga pengantin perempuan.

Pengantin lelaki dari Felda Gelanggi Dua, Mohamad Jamalluddin berkata dia memilih konsep dengan menaiki dan diiringi dengan jengkaut sebagai melambangkan kerjayanya sebagai pemandu dan pemilik jengkaut.

“Selain itu, saya memilih konsep ini sebagai satu kelainan di majlis perkahwinan yang bersejarah untuk diingati sehingga akhir hayat.”

“Saya pernah menonton dalam TikTok ada majlis seperti ini menggunakan jentera dan memaklumkan hasrat saya kepada rakan pemandu lain dan mereka bersetuju dan menyokong penuh sebagai satu sejarah yang dicatatkan di Felda Gelanggi Dua,” katanya.

Pasangannya, Nurul Eleeyana Najihan dari Felda Tekan Utara berkata apabila dimaklumkan oleh suaminya, mereka akan menaiki jengkaut, pada mulanya dia agak bimbang.

“Saya takut apabila diberitahu hasrat suami ini, lebih-lebih lagi berdiri di bahagian ‘bucket’ tetapi apabila difikirkan semula, apa salah mencubanya dan juga menjadi ingatan dan sejarah di hari perkahwinan kami,” katanya.

Sementara itu, pemandu jengkaut yang membawa pasangan tersebut, Muhammad Izaharuddin Iraman (27) sanggup datang dari Felda Jengka 13 dengan memandu jengkautnya yang mengambil masa hampir satu jam setengah dengan jarak kira-kira 40 kilometer.

“Apabila saya diminta oleh pengantin lelaki untuk menggunakan khidmat saya dan juga empat rakan pemandu lain, saya sangat gembira kerana cara berarak dan mengiringi pengantin dengan jengkaut satu cara baharu yang mencatat sejarah.”

“Saya dan empat lagi pemandu memikirkan cara berarak dan pemanduan selamat sambil membawa keluarga pengantin perempuan dari tempat bermula ke rumah pengantin lelaki pada jarak kira-kira 100 meter.”

“Selain itu, sebelum kami membersihkan jentera masing-masing dan jengkaut membawa pengantin turut dihiasi dua hari sebelum hari majlis,” katanya.

Seorang jemputan yangmenghadiri majlis perkahwinan itu, Amran Yusof berkata dia tertarik dengan perarakan itu kerana keunikannya serta bakal menjadi ingatan kepada kedua-dua mempelai itu.

“Lagipun saya yakin mereka tidak mengeluarkan modal kerana sahabat pemandu jengkaut sukarela untuk menyokong hasrat sahabatnya yang berkahwin,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini