comscore
Tumpuan :
Nasional

Menteri, Ahli Parlimen perlu jalani saringan kesihatan setahun sekali

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menyarankan semua Jemaah Menteri dan ahli Parlimen supaya menjalani saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi memastikan tahap kesihatan mereka dalam keadaan baik.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata bagi memudahkan proses itu, saringan kesihatan akan diadakan pada sesi Parlimen akan datang di bangunan Parlimen.

Beliau berkata pemeriksaan kesihatan antara yang disarankan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Mac lalu.

Menurutnya, ia bagi memastikan semua Ahli Dewan Rakyat sentiasa sihat supaya perkara yang berlaku ke atas bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu tidak berulang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat KKM 2023 di sini hari ini.

Zaliha berkata, KKM turut bercadang memberikan vaksin influenza kepada petugas barisan hadapan dan kakitangan KKM yang akan dilaksanakan tahun ini.

Katanya, KKM sedang dalam proses membeli vaksin berkenaan sebelum diberikan kepada kakitangan.

Loading...
Terkini