comscore
Tumpuan :
Dewan Rakyat

Menteri jawab isu hartanah tidak terjual, pembangunan berterusan KL di Dewan Rakyat hari ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Isu hartanah tidak terjual dan pembangunan berterusan di ibu negara antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat menerusi laman sesawang Parlimen, isu itu akan dibangkitkan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan pada sesi soal jawab sebaik persidangan bermula pada jam 10 pagi ini.

Beliau ingin tahu usaha kerajaan mengatasi isu hartanah tidak terjual yang berpunca daripada ketidaksepadanan nilai hartanah dibina dengan kemampuan pemilikan rakyat.

Pada sesi sama, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) pula akan bertanyakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai usaha bagi menghadapi cabaran pembangunan berterusan di Kuala Lumpur yang boleh menyebabkan masalah trafik, isu alam sekitar bandar dan perumahan.

Dalam pada itu,  Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dijadual menjawab  isu kekurangan bekalan barangan asas seperti gula, telur ayam, minyak masak dan tepung gandum serta tindakan menyelesaikan masalah kenaikan harga barangan berkenaan oleh pembekal dan peruncit.

Perkara itu akan diketengahkan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun).

Selain itu, Wong Shu Qi (PH-Kluang) meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan status terkini penubuhan Majlis Media Malaysia.

Selesai sesi terbabit, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkaitan. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini