comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Krisis hartanah China: Malaysia dijangka terkena sedikit tempias jangka pendek 

Evergrande Group memfailkan perlindungan muflis di Amerika Syarikat pada 17 Ogos 2023. Foto : Reuters.

Oleh Afrina Romzi

PETALING JAYA: Krisis hartanah yang membelenggu ekonomi China dijangka memberi sedikit tempias terhadap pasaran tempatan, untuk tempoh jangka pendek.

Ini susulan tindakan gergasi hartanah China, Evergrande Group yang dilaporkan sedang bergelut dengan tunggakan hutang lebih AS$300 bilion sehinggakan terpaksa memfailkan perlindungan bankrap di Amerika Syarikat. Manakala satu lagi syarikat China, Country Garden Holdings bakal dinyah senarai daripada Indeks Hang Seng Hong Kong pada 4 September 2023. Sebelum ini, syarikat dijangka mengalami kerugian AS$7.6 bilion pada separuh tahun pertama 2023.

Untuk menyokong pemulihan ekonomi, Bank Pusat China pada 15 Ogos lalu mengambil tindakan luar jangka dengan menurunkan kadar faedah untuk dua kali dalam tempoh tiga bulan. Ia mengurangkan kadar kemudahan pinjaman jangka sederhana (MLF) sebanyak 15 mata asas kepada 2.5 peratus.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid bagaimanapun berkata, perkembangan terbaharu ini dijangka mengakibatkan renmimbi diniaga lemah, seterusnya menjejaskan nilai ringgit untuk sementara waktu.

“Perkara ini (pengurangan kadar faedah) memberi kesan langsung kepada nilai matawang China, renmimbi yang dilihat melemah dan kita lihat trend ini bergerak seiring dengan ringgit. Jadi apabila berlaku kelembapan daripada renmimbi, ia memberi kesan langsung kepada ringgit, yang dijangkakan berada dalam jajaran lemah buat masa terdekat ini,” katanya kepada BuletinTV3.

Tambahnya, sektor hartanah China ialah salah satu pengemudi pertumbuhan ekonomi yang menyumbang sekitar 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.

Justeru, beliau berkata kegusaran ekonomi kedua terbesar dunia itu turut akan memberi tempias kepada ekonomi global, termasuk Malaysia yang mempunyai hubungan dagang penting.

Dalam pada itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangka krisis hartanah China hanya memberi kesan jangka pendek kepada sektor hartanah di Bursa Malaysia.

“Kami menjangka krisis Evergrande tidak akan memberi kesan kepada pemaju hartanah di Malaysia tetapi ia mungkin menimbulkan sentimen negatif di pasaran saham bagi sektor tersebut,” katanya kepada BuletinTV3.

Bagaimanapun, sentimen ini dijangka tidak akan berlarutan kerana pemaju hartanah Malaysia miliki asas kukuh.

Loading...
Terkini