comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Menu Rahmah hiasi Bazar Ramadan tahun ini

KOTA BHARU: Seramai 80 peniaga menawarkan Menu Rahmah di tapak Bazar Ramadan pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-empat, Kota Bharu sepanjang Ramadan ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata antara yang menjual Menu Rahmah termasuk peniaga ayam percik, lemak lembu bakar, daging lembu, set nasi, minuman dan kuih-muih.

Jumlah keseluruhan peniaga di Bazar Ramadan itu adalah 180 orang dan 80 daripadanya bersetuju menjual Menu Rahmah.

“Peniaga-peniaga yang bersetuju menawarkan Menu Rahmah akan diberi sedikit insentif daripada pihak kerajaan, kita akan bayar sedikit daripada sewa bazar,” katanya.

Peniaga yang menawarkan Menu Rahmah ini juga sanggup menurunkan harga jualan mereka demi memastikan orang ramai dapat membelinya.

Dalam perkembangan berkaitan, 6,000 pengunjung Bazar Ramadan di situ juga berpeluang menerima insentif RM20 seorang menerusi platform e-dompet.

Tinjauan Bernama di Bazar Ramadan Rahmah di People’s Park, Ipoh, Perak pula mendapati peniaga menyajikan pelbagai juadah di bawah RM5 dengan menu berkualiti untuk pengunjung membuat pilihan mendapatkan makanan atau minuman bagi persediaan berbuka puasa.

Terdapat 20 gerai di bazar itu yang beroperasi bermula 3 petang hingga 7.30 malam dengan rata-rata makanan atau minuman dijual pada harga bawah RM5, seperti Roti John, meatball, popia dan martabak.

Peniaga mi goreng Mohamad Izzat Hamdi Mohamad Norhisham, 23, berkata kewujudan bazar itu memberi peluang kepadanya untuk mencari rezeki dan menganggap inisiatif yang digerakkan kerajaan itu sangat membantu peniaga kecil.

“Lokasi ini strategik namun saya lihat kena ada lebih banyak promosi dan hebahan dilakukan terhadap Bazar Ramadan Rahmah bagi menarik kehadiran orang ramai.

“Masyarakat sudah terbiasa apabila setiap kali tibanya Ramadan sudah ada lokasi bazar tumpuan yang akan mereka pergi, jadi bazar baharu sebegini mungkin ambil masa sikit (untuk diketahui),” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, seorang pengunjung, Helmi Zakaria, 38, berkata dia terpanggil untuk berkunjung ke bazar itu setelah dimaklumkan rakannya.

“Saya harap ia sedikit sebanyak mampu membantu peniaga di sini yang terdiri daripada peniaga kecil untuk menjana pendapatan mereka. Mungkin ramai yang masih belum mengetahui kewujudan bazar di People’s Park ini dan sokongan orang ramai ditagih untuk pastikan bazar ini mendapat sambutan,” katanya.

Pada 22 Februari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bagi melaksanakan Bazar Ramadan Rahmah di beberapa lokasi strategik sempena bulan Ramadan ini.

Loading...
Terkini