comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesyuarat ‘pasukan khas’ bincang isu 3R Jumaat ini 

Foto : NSTP

KLANG: Pasukan khas ditubuh bagi meneliti serta memperincikan pelbagai aspek perundangan dalam mewujudkan satu akta baharu menangani isu provokasi membabitkan agama (religion), raja (royalty) dan kaum (race) atau 3R.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perbincangan itu bertujuan menilai undang-undang sedia ada serta memperhalusi keperluan untuk mewujudkan akta baharu berkaitan isu 3R.

Artikel berkaitan : [VIDEO] Kabinet kaji akta baharu tangani isu 3R – Azalina

Menurutnya, mesyuarat yang akan diadakan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur itu Akan dibarisi pelbagai pihak termasuk Majlis Peguam, badan profesional, Civil Society Organisation (CSO) juga badan bukan kerajaan (NGO).

“Jumaat ini, satu mesyuarat ‘task force’ untuk undang-undang salah guna 3R dalam elemen provokasi sebab kita tengok persampelan dari negara lain ia tidak melihat kepada aspek jenayah, tetapi juga kaunseling dan penekanan dari segi pendidikan.

“Memang ini di bawah Kementerian perpaduan, saya hanya melihat dalam aspek undang-undang. Pada ‘task force’ itu kita akan bincang lebih daripada kabinet dari segi pandangan pelbagai pihak.

“Kita akan jemput mereka pelbagai pemegang taruh seperti Majlis Peguam, NGO, CSO untuk berdialog dengan agensi kerajaan untuk melihat adakah ini satu masalah ataupun undang-undang (sedia ada) mencukupi, ataupun perlu satu undang-undang baru yang perlu kita kaji.

“Sebab banyak negara sekarang yang ada pelbagai kaum dan agama, (negara itu) guna pendekatan yang saya sebut tadi (akta khas) contohnya Indonesia dan Australia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Townhall UMNO Kota Raja yang turut dihadiri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, di sini malam tadi.

Jelas beliau lagi,  perbincangan itu juga bertujuan menangani pihak tertentu yang sengaja mencetuskan provokasi melampau mengenai isu berkenaan.

Semalam, ketika dialog awam berkenaan Azalina menjelaskan kerajaan akan memajukan langkah-langkah baharu untuk melindungi perpaduan negara sambil mengimbangi hak dan keistimewaan serta kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani akan terus mempertahankan kedudukan bangsa, agama dan institusi Diraja serta memelihara perpaduan antara kaum,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut membidas apabila ada pihak yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah akta baharu menangani isu provokasi 3R itu sudahpun wujud apabila pertama kali diumumkan pada 15 Julai lalu.

“Yang  komen seolah-olah kerajaan zalim dan dah ada undang-undang ini. Nak buat undang undang, kena tunggu Parlimen bersidang, kena ada sesi libat urus, ada wakil parlimen yang boleh bahas.

“Kita buat undang di Malayisa mengikut amalan demokrasi. Saya pelik kenapa tiba-tiba tuduh kerajaan zalim,  kuku besi dan bersifat draconian. Kalau nak buat komen, tunggulah dulu kalau undang-undang tu sudah ada rangka pembentangan untuk mereka beri penilaian. Setakat ini masih dalam fasa penilaian dan dalam perbincangan,” katanya.

Loading...
Terkini