comscore
Tumpuan :
Nasional

MINDEF kerjasama dengan KKR pastikan projek libat kementerian berjalan lancar

 

JOHOR BAHRU: Kementerian Pertahanan (MINDEF) bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memastikan pelaksanaan projek-projek yang melibatkan kementerian itu berjalan lancar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya berperanan dalam melakukan pemantauan, manakala KKR pula melibatkan aspek teknikal dan sebagainya.

“Kita (MINDEF-KKR) ada mesyuarat secara berkala untuk melihat sesuatu projek (sama ada) ikut jadual atau lewat ikut jadual dan bagaimana prestasi kontraktor juga.

“..dan memang cara kerajaan, semua projek KKR laksana kerana ia agensi terknikal, kita (MINDEF) pula dari segi memantau projek berkaitan (di bawah kementeriannya),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Johor di Padang Begonia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kementeriannya sentiasa memantau pelaksanaan projek-projek berkaitan susulan isu pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing yang lambat siap.

Semalam, Datuk Seri Mohamed Khaled dilaporkan berkata, kegagalan subkontraktor yang dilantik untuk melaksanakan kerja pendawaian, menjadi punca projek pembinaan kolam selam tempur di kem itu lambat disiapkan mengikut jangkaan.

Beliau berkata meski projek itu merupakan projek MINDEF, namun ia dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sekiranya berlaku kelewatan pembinaan, kontraktor yang terbabit akan dikenakan penalti.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim baru-baru ini menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah kolam itu yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan selain papan tanda projek dirobohkan.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini