comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mohamad Sabu kekal Presiden AMANAH

 

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KLANG: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu kekal sebagai Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) bagi tempoh 2023/2026 apabila dipilih dalam mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu
yang diadakan hari ini.

Manakala jawatan Timbalan Presiden yang sebelum ini kosong akibat kematian Datuk Seri Salahudin Ayub kini disandang Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu, berucap ketika sesi penggulungan sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2023. Foto: NSTP

Jawatan Naib Presiden AMANAH pula disandang Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefli Ahmad, Bekas Exco Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Keputusan pemilihan jawatan-jawatan utama parti itu diumumkan oleh Speaker AMANAH bagi penggal 2023/2026, Azhar Abdul Shukor sewaktu Konvensyen AMANAH Nasional 2023 di Klang sebentar tadi.

Terdahulu pada Konvensyen Nasional Amanah hari ini pemilihan secara sistem e-undi melibatkan kira-kira 1003 perwakilan untuk memilih Speaker, Timbalan Speaker dan dua juruaudit serta 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional.

Perlembagaan parti memperuntukkan bahawa sebaik keputusan pemilihan diumumkan, speaker hendaklah memanggil satu mesyuarat dalam kalangan 27 orang yang dipilih bersama dengan Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Wanita Muda dan 14 Pengerusi Negeri.

Ia bagi memilih daripada kalangan 27 ahli jawatankuasa itu jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tidak lebih tiga Naib Presiden.

Presiden pula boleh melantik dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional tidak lebih daripada dua Naib Presiden, Setiausaha Agung dan beberapa jawatan lain bagi mentadbir urus parti.

Loading...
Terkini