comscore
Tumpuan :
Nasional

“Mohon maaf kepada ibu saya” – anak mangsa nahas SUKE

Penunggang motosikal berkuasa tinggi Ducati, maut selepas terjatuh dari jejambat Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang, Rabu lalu. Foto Twitter SenawangTV

KUALA LUMPUR: Anak kepada lelaki yang maut dalam nahas di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Rabu lalu, mahu penunggang motosikal yang menjadi punca kemalangan itu tampil memohon maaf kepada ibunya.

Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 36 tahun kecewa kerana penunggang motosikal itu melarikan diri dari lokasi kejadian tanpa membantu bapanya, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62 tahun.

Beliau turut menuntut penjelasan daripada penunggang motosikal terbabit kerana tidak menghubungi ambulans.

Katanya, beliau amat kecewa dengan tindakan penunggang motosikal itu.

“Semua orang lakukan kesilapan, tetapi sekurang-kurangnya bertanggungjawab dan memohon maaf kepada kami, terutama ibu saya.

Jika penunggang motosikal itu membaca artikel ini, sila tampil mohon maaf kepada ibu saya,” katanya memetik laporan portal Berita Harian/FMT, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE selepas cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.

Kemalangan itu terakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang kemudian dikongsi di media sosial.

Dalam pada itu, Muhammad Hafidz mengucapkan terima kasih atas doa dan ucapan takziah orang ramai.

Bagaimanapun, beliau merayu pengguna media sosial lebih peka dan berhenti berkongsi sebarang gambar serta klip video nahas membabitkan bapanya itu.

BH hari ini melaporkan penunggang motosikal melawan arus sehingga menyebabkan nahas Rabu lalu itu, tampil membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Kajang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail dilaporkan berkata lelaki berusia 41 tahun dari Kajang, Selangor yang berniaga makanan itu juga sudah dirakam keterangan berkait kes itu.

Setakat ini, katanya, polis sudah merakam keterangan enam orang termasuk suspek berkait nahas kira-kira jam 1.05 tengah hari di Kilometer 22.2 SUKE berhampiran Ulu Kelang itu. BERITA HARIAN.

Loading...
Terkini