comscore
Tumpuan :
Nasional

MTUC akhiri kemelut dalaman

KUALA LUMPUR: Kemelut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang berlarutan sehingga kini berakhir selepas Majlis Am MTUC sebulat suara memutuskan menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor yang memaklumkan perkembangan itu berkata keputusan dibuat dalam mesyuarat Majlis Am khas pada 28 April lalu di ibu pejabat kongres itu yang dihadiri 46 ahli majlis.

Dalam mesyuarat itu, beliau berkata ahli majlis berbahas mengenai status rayuan dalam suasana harmoni dan keputusan sebulat suara untuk menarik balik kes berkenaan dibuat atas kehendak ahli gabungan yang hendak melihat MTUC lebih menumpukan isu buruh.

“Untuk itu, MTUC akan mengarahkan peguam untuk melaksanakan keputusan Majlis Am dengan memohon dari Mahkamah Rayuan bagi penarikan kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kamarul Baharin, mesyuarat bagi pemilihan pegawai baharu akan dilaksanakan setelah mendapat arahan dari Mahkamah Rayuan susulan penarikan balik kes rayuan itu.

Jelasnya, selaras arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan, tugas pentadbiran dipangku kepimpinan MTUC yang dipilih pada pemilihan 2020.

Pada 23 Ogos tahun lalu, MTUC memperoleh perintah penangguhan sementara bersyarat yang mengehadkan ahli jawatankuasa semasa kepada hanya menjalankan urusan pentadbiran harian.

Selain itu, MTUC juga dihalang daripada membuat keputusan dasar bagi pihak kongres.

Mahkamah juga memerintahkan pegawai kongres berkenaan supaya tidak menjalankan sebarang pemilihan baharu.

Ia selepas Ahli Jawatankuasa MTUC yang mana pemilihan mereka diisytiharkan sebagai tidak sah, dituduh mengingkari perintah mahkamah yang menghalang mereka mewakili kongres pada mesyuarat rasmi dan seminar.

Sekumpulan 11 ahli sekutu, diketuai bekas presiden MTUC Halim Mansor, memperoleh perintah itu pada 11 Ogos selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengisytiharkan pemilihan MTUC pada persidangan perwakilannya tahun lepas terbatal dan tidak sah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini