comscore
Tumpuan :
Nasional

Murid dakwa dirotan guru besar: KPM akan bekerjasama dengan polis

KUALA PILAH: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi sekiranya dakwaan murid tahun lima cedera pada badan dan muka akibat dirotan guru besar di sebuah sekolah di Segamat, Johor benar-benar berlaku.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

Artikel berkaitan: Murid dakwa cedera dirotan guru besar

“Semua kes-kes ini kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan dalam masa sama, kita kena hormat siasatan itu dan semua siasatan ini akan dimaklumkan kembali KPM.

“Kita tidak berkompromi jika benar dakwaan terhadap kes itu dan kita akan bekerjasama dengan pihak yang menjalankan siasatan.

“Saya bagi jaminan siasatan dilaksanakan secara telus dan mengikut proses kerja kita 1:3:7 mengikut prosedur ditetapkan KPM,” katanya selepas merasmikan Karnival Mini Pendidikan MADANI Peringkat Negeri Sembilan 2023 di Dewan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDN) di sini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media membabitkan murid lelaki Tahun Lima sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Segamat yang dilaporkan cedera pada badan dan muka selepas didakwa dirotan guru besar sekolah berkenaan kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu menerusi laman Facebook Polis Daerah Segamat kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Fadhlina menegaskan selain bekerjasama dengan pihak yang menjalankan siasatan, langkah intervensi khususnya sebagai sokongan kepada guru dan murid yang terbabit juga akan dibuat berdasarkan ketelusan siasatan mengikut proses ditetapkan.

“Semua kes dalam radar KPM dan kita akan memantau dengan ketat yang mana semua hasil siasatan akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkenaan.

“Kita (KPM) tidak akan campur tangan (terhadap siasatan) dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkenaan. Kita hendak ia dilakukan dengan telus,” katanya.

Ditanya sama ada guru besar berkenaan akan direhatkan sepanjang siasatan dijalankan, beliau berkata ia bergantung kepada siasatan dan tindakan lanjut hanya akan diambil sebaik pihaknya menerima hasil siasatan berkenaan.

Loading...
Terkini