comscore
Tumpuan :
Nasional

MyMinda rekod lebih 17,000 saringan kesihatan mental  

KUALA LUMPUR: Kurang sebulan diperkenalkan menerusi aplikasi MySejahtera, perkhidmatan modul MyMinda merekodkan sebanyak 17, 300 saringan kesihatan mental, setakat 15 November lalu.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memberitahu Dewan Rakyat, daripada jumlah itu, 23 peratus atau 3,983 saringan mempunyai risiko kemurungan, manakala 15 peratus atau 2,592 saringan memiliki risiko keresahan.

“Individu-individu yang mempunyai risiko ini ada akses secara terus melalui MyMinda untuk mendapatkan bantuan kaunseling.

“Pengguna berkenaan juga diberikan akses kepada Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555. Pengguna juga boleh mendapatkan akses kepada janji temu perkhidmatan kesihatan mental di semua klinik kesihatan yang dimulakan tahun depan,” katanya

Setakat ini, talian HEAL 15555  telah merekodkan 26,139 panggilan berkaitan kesihatan mental.

Jelas beliau, jumlah itu merangkumi 16,942 pemanggil mendapat bantuan sokongan emosi dan 9,197 klien menerima intervensi khusus oleh pegawai psikologi kaunseling.

Selain itu katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan mengadakan libat urus bersama pihak universiti dan kaunselor atau profesional kesihatan mental swasta, dalam usaha mempertingkatkan akses perkhidmatan kesihatan mental kepada orang awam.

Dr Zaliha berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad mengenai pencapaian MyMinda dalam MySejahtera.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini