comscore
Tumpuan :
Nasional

NAFAS sebagai pengimport beras alternatif, dibincang dalam mesyuarat NACCOL esok 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Cadangan menjadikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai alternatif pengimport beras serta pengeluar beras putih tempatan akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) esok.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, penglibatan NAFAS secara langsung itu sebagai langkah mengimbangi harga beras selain memastikan keperluan beras putih tempatan mencukupi.

“NAFAS bersedia menjadi alternatif kepada pengimportan beras sekiranya Bernas (Padiberas Nasional Berhad) tidak bersedia untuk mendapatkan beras (import) yang lebih kompetitif (harga) untuk menampung keperluan beras tempatan.

“Penglibatan daripada awal bermula penyediaan tanah hingga pengeluaran dan pengedaran beras mampu dibuat NAFAS dan mereka bersedia untuk bersama-sama membantu kerajaan berdepan tekanan kartel seterusnya menjual beras pada harga yang munasabah dan stabil,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata NAFAS menerusi peladang di peringkat kawasan dan negeri mempunyai kemampuan termasuk kemudahan fasiliti sedia ada seperti kilang, pusat membelian dan lesen pemborong bagi industri beras.

Datuk Syed Abu Hussin Hafiz berkata, di pasaran terbuka di luar negara masih ada lagi pengeksport dari India, Pakistan, Kemboja dan Vietnam yang boleh menawarkan harga lebih kompetitif.

Selain itu katanya penglibatkan NAFAS juga dilihat sebagai langkah untuk membanteras kegiatan kartel yang cuba memanipulasi harga beras sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang sebelum ini mendedahkan terdapat kartel beras putih tempatan melibatkan empat hingga lima syarikat di negara ini yang dipercayai bertindak mengawal jual beli padi hingga berlaku kekurangan bekalan di pasaran serta peningkatan harga.

Menurutnya isu berkenaan juga akan dibincangkan mesyuarat NACCOL supaya kerajaan boleh mengambil tindakan serius terhadap syarikat terlibat. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini