comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas 3 motosikal dan 4 kereta, lima cedera 

GEORGE TOWN: Kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Jalan Bukit Gambir, di sini, hari ini, menyebabkan lima individu cedera.

Nahas jam 3 petang itu berlaku di laluan arah Universiti Sains Malaysia (USM) ke Jalan Tun Dr Awang membabitkan tiga motosikal dan empat kereta.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V Saravanan berkata, kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat.

Katanya, kemalangan berlaku selepas kereta yang dipandu seorang wanita hilang kawalan dan melanggar kenderaan yang berada di hadapannya.

“Pemandu wanita itu mengalami cedera di bahagian dada, manakala penunggang dan pembonceng sebuah motosikal masing-masing mengalami kecederaan di leher dan kaki kanan serta pendarahan di kepala.

“Seorang penunggang motosikal mengalami patah kaki dan tiga lagi pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Kesemua yang cedera sudah dihantar ke hospital bagi diberi rawatan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini