comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas empat rentung: Kereta terbabas sendiri – Polis

MANJUNG: Polis mengesahkan kereta Proton Saga Iswara yang dinaiki lima rakan sekerja yang terbabit kemalangan di kilometer 220 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara, di sini petang tadi terbabas sendiri sebelum terbakar.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata apabila sampai di tempat kejadian, disyaki pemandu yang berumur 56 tahun hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan.

Kereta itu kemudiannya terbalik masuk ke dalam longkang di bahu kiri jalan hingga menyebabkannya hangus terbakar.

Artikel berkaitan: 4 lelaki rentung, kereta terbabas sebelum terbakar 

“Empat mangsa yang rentung terbakar adalah pemandu, penumpang hadapan berumur 50 tahun serta dua penumpang belakang masing-masing berumur 45 dan 53 tahun. Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Proses bedah siasat terhadap empat mayat lelaki yang ditemukan rentung akan dilakukan jam 10 pagi esok di Unit Perubatan Forensik Hospital Seri Manjung. – Foto: NSTP/Muhamad Lokman Khairi

Seorang penumpang belakang berumur 54 tahun mengalami cedera parah sudah dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.

Katanya, polis menerima maklumat berkaitan kemalangan itu jam 5.20 petang, kira-kira lima minit selepas kejadian.

Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara dari Pangkalan TLDM Lumut melalui Tol Sitiawan Utara menghala ke Ipoh.

Proses bedah siasat ke atas mayat akan dilakukan jam 10 pagi esok di Unit Perubatan Forensik Hospital Seri Manjung.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Lily Suryana Roslaili di talian 013-6559693.

Loading...
Terkini