comscore
Tumpuan :
Nasional

Kereta terbabas dalam sungai, lelaki OKU sempat diselamatkan 

SUNGAI PETANI: Sebuah kereta Proton Saga yang dipandu lelaki warga emas terbabas ke dalam sungai di Chalet Segantang Garam, Merbok di sini, hari ini.

Mangsa dipercayai orang kurang upaya (OKU) berusia 75 tahun diselamatkan dengan bantuan orang awam sebelum anggota bomba tiba.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.13 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azlan Abdul Aziz bersama lapan anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Setibanya di lokasi, anggota kami mendapati terdapat sebuah kereta terbabas ke dalam sungai dan terdapat seorang mangsa dalam keadaan separuh sedar.

“Mangsa terlebih dahulu diselamatkan penduduk kampung sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

“Tindakan anggota adalah dengan melakukan perawatan awal kepada mangsa dan membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan menaiki EMRS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani turut berada di lokasi pencarian untuk memastikan tiada mangsa lain berada dalam kenderaan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini