comscore
Tumpuan :
Nasional

Najis tikus di dapur, bahan mentah atas lantai, 2 restoran diarah tutup

Foto: Ihsan DBKL/ Facebook

KUALA LUMPUR: Dua premis makanan diarah menutup operasi berikutan tahap kebersihan tidak memuaskan dalam Operasi Sepadu Bersih sekitar ibu kota, semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, tindakan itu dikenakan selepas mendapati premis terbabit mengambil sikap sambil lewa dalam hal kebersihan.

“Ini termasuk meletakkan makanan mentah di atas lantai, terdapat kesan hurungan dan najis tikus di bahagian dapur dan lorong belakang premis di jadikan tempat penyediaan makanan.

“Arahan tutup operasi dijalankan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan28(1) WPKL 2016,” katanya.

DBKL berkata, operasi semalam dilaksanakan 52 petugas dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar di 41 premis di Bandar Baru Seri Petaling, Jalan Pasai, Jalan Radin Anum 2, Jalan Dutamas 1 dan L2 Hartamas Shopping Centre.

Operasi turut dijalankan di Jalan Raja Muda Musa Kampung Baru, Jalan Ampang dan di Jalan Landak serta Jalan Brunei.

“Pada operasi itu, kita turut mengeluarkan 57 kompaun atas pelbagai kesalahan kerana didapati melanggar Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016, Undang-Undang Kecil Pengendali Makan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap premis-premis terbabit kerana gagal mematuhi kehendak-kehendak kesihatan.

“Ini termasuk pemilik dan pekerja gagal mendapatkan suntikan tifoid dan menghadiri kursus pengendali makanan, tidak memasang perangkap minyak dan perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik menyebabkan tersumbat dan berbau,” katanya.

Kesalahan lain yang dikesan adalah lantai dan dinding di ruang dapur kotor dan berdaki hitam dan lesen perniagaan tamat tempoh.

Loading...
Terkini