comscore
Tumpuan :
Nasional

Nasi lemak tersenarai dalam buku CIA

Foto hiasan

PETALING JAYA: Nasi lemak yang menjadi salah satu makanan popular di Malaysia telah diletakkan dalam senarai Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

CIA dalam ciapan menerusi Facebooknya semalam berkata nasi lemak dianggap makanan kebangsaan Malaysia dan adalah makanan popular untuk sarapan pagi orang Melayu.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam bahasa Melayu, nasi lemak kononnya bermaksud ‘nasi gemuk’ kerana penyediaan telah membuatkan nasi itu berlemak dan bersantan (rich and creamy).

Ia disebutkan sebagai mengandungi nasi yang dimasak wangi bersama santan kepala, daun pandan, serai, halia dan rempah lain.

Menurut kenyataan itu lagi, nasi lemak biasanya dihidangkan bersama telur rebus, ikan bilis goreng, sambal dan kacang goreng.

Kenyataan itu dimuat naik menerusi laman World Factbook CIA.

Ia mendorong ratusan pengguna Facebook dipercayai dari Malaysia memberi komen ke atas ciapan itu yang dianggap di luar kebiasaan daripada agensi perisikan Amerika Syarikat itu.

Usik seorang daripada mereka, Teyra Albaraqbah “Dangerous food if u r on a mission. Nasi lemak can make u sleepy and miss your target. Eat Hup Seng crackers with kopi O if u want to stay awake.” (Makanan berbahaya jika anda dalam misi. Nasi lemak boleh menyebabkan anda mengantuk dan tersasar daripada sasaran. Makan biskut Hup Seng dengan kopi O jika anda tidak mahu mengantuk).

Tambah Teyra Albaraqbah, orang Malaysia adalah orang baik dan telah mengajar anda (orang Amerika Syarikat) apa yang perlu dilakukan.

Usikan mengenai perkara itu berlarutan apabila ada pengguna mencadangkan supaya CIA turut memuat naik kenyataan mengenai ‘trading rice’ (nasi dagang) dan ‘rice to Wednesday’ atau ‘nasi kerabu.’

Dan yang pasti, hampir setiap orang daripada mereka turut mencadangkan CIA atau wakilnya mencuba dahulu keenakan nasi lemak Malaysia.

CIA World Factbook adalah sumber awam yang memuatkan perisikan asas di 266 entiti dunia termasuk mengenai profil negara dan kenyataan perjalanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini