comscore
Tumpuan :
Nasional

Nini Yusof dilantik sebagai CEO rangkaian TV Media Prima

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad mengumumkan pelantikan Nini Yusof sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Media Prima Television Networks (MPTN) dan Primeworks Studios berkuat kuasa 1 Ogos 2023.

Nini akan menggantikan Datuk Khairul Anwar Salleh yang memilih untuk meninggalkan kumpulan bagi memberi tumpuan yang lebih terhadap minat beliau dalam bidang seni lukis dan penulisan kreatif.

Sebagai CEO, Nini akan mengetuai operasi TV3, TV9, 8TV, ntv7, Tonton dan Primeworks Studios.

Beliau melapor kepada Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.

Sebelum ini, Nini ialah Timbalan CEO MPTN dan Primeworks Studios.

Beliau memegang beberapa jawatan kepimpinan utama di dalam Media Prima sejak menyertai kumpulan pada 2012.

Jawatan utama terdahulunya termasuk Pengarah Jualan dan Strategi MPTN serta Ketua Pegawai Kandungan Media Prima Omnia dan Primeworks Studios.

Selain mengurus operasi penyiaran dan kandungan kumpulan di dalam negara, beliau mengetuai beberapa kerjasama kandungan yang mendapat rating tinggi dengan penyiar antarabangsa dan rakan kongsi seperti SBS untuk ‘Masters In The House Malaysia’, ‘E! Entertainment’ untuk E! News dan ‘Cooking For You’ yang akan dilancarkan tidak lama lagi, sebuah program kulinari hasil inisiatif kerjasama lima negara di bawah KesatuanPenyiaran Asia-Pasifik (ABU).

Pada 2016, beliau melancarkan usaha sama antara Media Prima dan CJENM bagi perniagaan Home Shopping dan e-dagang, CJ Wow Shop (Wowshop).

Usaha sama ini adalah inisiatif transformasi perniagaan penting yang bertujuan untuk meluaskan sumber aliran pendapatan kumpulan.Sebelum menyertai Media Prima, Nini berkhidmat dengan NBC Universal.

Sebelum itu, beliau bersama Fox Networks Group dan STAR TV.

Berpangkalan di Singapura, beliau bertanggungjawab terhadap jualan dan pemasaran rakan kongsi, pengedaran di sembilan pasaran untuk lebih daripada 20 saluran termasuk saluran National Geographic Channels, FOX, dan STAR yang ikonik.

Beliau juga sebahagian daripada pasukan pembangunan filem Fox International Productions untuk pasaran Indonesia.

Nini memulakan kerjayanya bersama KPMG.

Mengulas pelantikan itu, Rafiq dalam satu kenyataan berkata, “Kami gembira mengumumkan Nini sebagai CEO baharu MPTN dan Primeworks Studios.

“Pengalaman yang luas di dalam segmen media tempatan dan serantau yang beliau miliki adalah sangat berharga kepada kumpulan untuk terus menyediakan kandungan berkualiti tinggi buat audiens dan penyelesaian inovatif kepada pengiklan.

“Rekod prestasinya yang terbukti dengan Media Prima akan memastikan peralihan operasi serta integrasi yang lancar dalam peranan baharu ini ketika kami terus bergerak maju di dalam lanskap media yang berkembang pesat.

Beliau berkata, Media Prima mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Khairul atas sumbangan beliau kepada pertumbuhan serta kejayaan MPTN dan Primeworks Studios sepanjang perkhidmatan beliau sebagai CEO.

“Sumbangan Datuk Khairul kepada syarikat amat penting dalam mengekalkan kedudukan kami sebagai rangkaian televisyen terkemuka di Malaysia.

“Kami mendoakan yang terbaik kepada beliau dalam usaha-usaha masa depannya,” katanya.

Loading...
Terkini