comscore
Tumpuan :
Nasional

Media Prima dan Mercy Malaysia lancar kempen bantu mangsa bencana Maghribi dan Libya

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima) dan Mercy Malaysia melancarkan Kempen Gempa Bumi Maghribi dan Kempen Bantuan Banjir Libya dalam usaha membantu meringankan beban penduduk yang terjejas di kedua-dua negara.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, pihaknya memberi sokongan penuh dalam menjayakan kempen itu.

“Kami amat sedih dengan musibah yang mengakibatkan kehilangan nyawa, mata pencarian dan kerosakan harta benda sekali gus mengakibatkan kehilangan tempat tinggal ramai penduduk di kedua-dua negara.

“Kami akan memanfaatkan platform yang ada bagi meningkatkan kesedaran dan sokongan untuk tujuan ini. Kami merayu kepada semua rakyat yang bermurah hati untuk menyokong misi kemanusiaan ini. Setiap derma adalah penting,” katanya.

Sementara itu, Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus menekankan kepentingan kerjasama antara kedua pihak.

“Kerjasama Media Prima dengan Mercy Malaysia dalam usaha membantu mangsa gempa bumi dan banjir di Maghribi dan Libya menunjukkan nilai solidariti masyarakat terhadap krisis kemanusiaan.

“Kerjasama ini juga susulan kejayaan kedua pihak pada misi gempa bumi Turkiye-Syria, yang terbukti memberi manfaat kepada komuniti yang terjejas di kedua-dua negara Turkiye dan Syria,” katanya.

Maghribi dilanda gempa bumi kuat pada 8 September lalu meragut nyawa lebih 2,900 individu, mencederakan sekurang-kurangnya 5,530 orang, dan menyebabkan lebih 10,000 individu dikhuatiri hilang.

Kemudian, Ribut Daniel yang mendarat di Libya pada 10 September menyebabkan keadaan cuaca buruk, hujan lebat secara tiba-tiba dan banjir besar yang menjejaskan beberapa wilayah timur laut negara itu.

Ribut yang melanda merosakkan empangan, menenggelamkan timur laut Libya, memusnahkan rumah, menyebabkan kerosakan besar, mengganggu rangkaian jalan raya, dan memutuskan talian komunikasi.

Banjir di Libya meragut lebih 2,000 nyawa, 30,000 orang kehilangan tempat tinggal, dan 5,000 lagi hilang.

Mereka yang ingin membantu, boleh menderma ke tabung bantuan Morocco Earthquake Response and Libya Flood Emergency Relief (Tindak Balas Gempa Maghribi dan Bantuan Kecemasan Banjir Libya) MERCY Malaysia (Maybank: 5621 7950 4126); MERCY Malaysia (CIMB: 8000 7929 08); dan MERCY Humanitarian UK (Akaun Bank CAF: 00022473 Kod Isih: 40-52-40).

Loading...
Terkini