comscore
Tumpuan :
Nasional

NRECC laksana semakan semula tarif air

BANTING: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melaksanakan semakan semula tarif air bagi membolehkan kadar baharu memberikan pulangan modal setimpal kos operasi.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerajaan di peringkat Persekutuan sedar kemampanan kewangan operator air memainkan peranan penting dalam mutu penyampaian perkhidmatan bekalan air.

“Kami sedia maklum bahawa terdapat negeri yang masih menggunakan tarif lama dan tidak pernah disemak sejak lebih 20 tahun lalu dan perkara ini sedang dalam tindakan NRECC.

“Pada masa yang sama, kami akan memastikan supaya sebarang kenaikan tarif tidak akan membebankan golongan kurang berkemampuan,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau di tapak projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau di Kampung Seri Cheeding, di
Banting, Selangor.

Mengulas mengenai Skim Bekalan Air Rasau, Nik Nazmi berkata, ia adalah langkah proaktif dimainkan kerajaan negeri dan Pengurusan Air Selangor Sdn Berhad (Air Selangor) yang mana ia akan menyediakan bekalan air alternatif sekiranya berlaku insiden pencemaran dan mengurangkan kebergantungan pengguna di Wilayah Klang terhadap sumber bekalan air terawat tunggal iaitu Skim Sungai Selangor.

Katanya, ia juga bersifat dwifungsi yang mana selain menjamin bekalan air, ia juga untuk mengatasi masalah banjir di sekitar kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Nik Nazmi memaklumkan Selangor antara negeri terbaik selain Johor dalam pengurusan air tanpa hasil (NRW) iaitu di bawah 30 peratus.

Loading...
Terkini