comscore
Tumpuan :
Dewan Rakyat

9 pelan tindakan & langkah mitigasi, jamin kelestarian bekalan sumber air

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad di Dewan Rakyat

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid & Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menyatakan sembilan pelan tindakan dan langkah mitigasi dirangka bagi menjamin kelestarian sumber bekalan air untuk terus mampan.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia termasuk pemantapan pelan komunikasi antara pihak berkepentingan, penyelarasan dengan operator bekalan air dan pembetungan serta kajian semula Perjanjian Persefahaman di kalangan operator air dan garis panduan sedia ada.

“Penyelarasan bersama agensi-agensi berkaitan seperti Bahagian Bekalan Air (BBA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Jabatan Meteorologi Malaysia, Badan Kawal Selia Negeri serta Operator Empangan berkaitan isu-isu pelepasan dan simpanan air di empangan.

“Ketiga pengurusan dan pemantauan simpanan yang sistematik serta penyediaan SOP Empangan semasa musim panas atau kemarau termasuklah kajian unjuran inflow forecasting dan kapasiti empangan bagi pengurusan sumber air yang lebih berkesan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guang Eng mengenai empangan Mengkuang yang disenaraikan oleh Perkhidmatan Air Negara SPAN sebagai salah satu daripada empangan air berisiko tinggi di Malaysia.

Tambahnya, beliau juga akan mengadakan lawatan kerja ke empangan berkenaan pada 8 November depan.

“Saya menyeru supaya Kerajaan Negeri turut bersama mengambil langkah proaktif dengan mengawal aktiviti guna tanah dan pencemaran serta pengguna juga diharap dapat mengamalkan penjimatan penggunaan air,” tambahnya.

Terdahulu SPAN menyatakan tujuh empangan bekalan air dikenal pasti berisiko tinggi mendatangkan masalah sumber air kepada LRA dan kawasan sekitarnya, sekiranya berlaku sebarang kegagalan fungsi empangan terbabit termasuk kerana faktor cuaca.

Antaranya empangan Pedu dan Muda di Kedah, empangan Durian Tunggal, Asahan dan Jus di Melaka, empangan Mengkuang di Pulau Pinang, dan empangan Linggui di Johor.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini