comscore
Tumpuan :
Politik

Program Felo Keadilan hasilkan pimpinan muda

Perwakilan PKR yang menghadiri Konvensyen PKR di IDCC. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: PKR melancarkan program Felo Keadilan bagi melahirkan pemimpin muda sebagai persediaan meneruskan kesinambungan kepemimpinan serta legasi perjuangan parti itu.

Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ia bertujuan memperkasa generasi muda, sekali gus menjadi platform mendepani cabaran mendekati golongan berkenaan dengan permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, pelaksanaan inisiatif itu juga mengambil iktibar daripada kesukaran PKR mengetengahkan calon ketika Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) pada 2004.

Inisiatif itu, katanya, akan menjadi platform memudahkan ahli PKR berusia 20 hingga 40 tahun menonjolkan bakat kepemimpinan menerusi kerjasama dengan pemimpin sedia ada serta wakil rakyat parti berkenaan.

“PKR dahulu mampu melahirkan pemimpin berusia 20-an dalam kepemimpinan kanan parti, namun keadaan ketika ini sudah berubah, terutama selepas berjaya menawan Putrajaya pada PRU15.

“Ia sekali gus menyebabkan laluan anak muda untuk menjadi pemimpin mungkin tidak semudah dahulu. Ramai (golongan muda) yang mungkin rasa sukar dan putus harapan selepas masuk sekejap ke dalam parti.

“Justeru, perlu ada kesedaran membawa masuk bakat baharu kerana bukan mudah bagi ahli biasa atau yang baru berjinak dengan parti untuk menembusi politik cabang atau menjadi pemimpin,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata demikian ketika Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen IdeaL (IDCC) di sini, hari ini.

Pelancaran Felo Keadilan itu turut disempurnakan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli; Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua AMK, Adam Adli.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini