comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi pembenihan awan di Sabah bermula hari ini – NADMA

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Sabah, dengan menyasar tiga daerah yang terjejas kemarau iaitu Papar, Lahad Datu dan Tawau.

Operasi dijalankan tiga hari hingga 30 Mac ini dengan kerjasama Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Bahagian Bekalan Air Labuan setelah NADMA menerima permohonan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

Bagi melaksanakan OPA, pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Labuan dengan membawa empat tangki air yang mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan MetMalaysia.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata OPA dibuat dalam usaha menyediakan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas.

“Kemarau yang berlarutan sejak Februari lalu menyebabkan 58,080 ketua isi rumah (KIR) membabitkan 355 kampung dalam 12 daerah di Sabah berdepan masalah kekurangan bekalan air.

“Sejumlah RM7.5 juta diperuntukkan bagi menampung kos penghantaran bekalan air dengan kerjasama pelbagai agensi di bawah NADMA,” katanya.

Khairul Shahril menggalakkan kerajaan negeri yang memerlukan bantuan bagi menjalankan operasi ini agar mengemukakan cadangan kepada NADMA untuk dibuat penilaian.

Beliau berkata, kesesuaian lokasi dan ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan perlu dikaji terlebih dahulu oleh MetMalaysia bagi menjamin kejayaan OPA.

“Kejayaan OPA bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah.

“Faktor-faktor ini membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran. Impak fenomena cuaca panas dan kering semasa peralihan Monsun Timur Laut turut membabitkan beberapa kawasan di Sabah.

“Sehingga 26 Mac lalu, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan di seluruh negeri, memusnahkan kawasan seluas kira-kira 3,800 hektar, termasuk 3.4 hektar kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok,” katanya.

Beliau berharap usaha bersepadu yang dilaksanakan hari ini boleh membantu dalam meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.

Katanya, NADMA selaku agensi peneraju pengurusan bencana negara mengingatkan orang ramai untuk mengelakkan daripada melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka terutama di tanah gambut untuk menghindari pencemaran udara (jerebu).

“Golongan yang berisiko terkena strok haba dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah, minum air secukupnya dan ambil langkah-langkah pencegahan yang perlu, selain sentiasa cakna dengan maklumat kekal sihat ketika musim panas yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagi maklumat berkenaan cuaca, orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca di Google Play dan App Store untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari METMalaysia serta sentiasa peka serta patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini