comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi SAR Hawari ditamatkan 28 Mei ini

Muhammad Hawari Hashim. -FOTO: Ihsan KAME 2022

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, yang hilang di kawasan pergunungan Everest akan ditamatkan 28 Mei (Ahad) ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr K Nagulendran, berkata keputusan itu dibuat susulan notis penutupan semua aktiviti di pergunungan Everest mulai Isnin depan, yang dikeluarkan kerajaan Nepal.

Beliau berharap Hawari yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dapat ditemui dalam keadaan selamat, sebelum tempoh berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan melalui KBS akan menghulurkan bantuan kewangan bernilai RM1.48 juta kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi membantu misi SAR Muhammad Hawari.

“Kita sangat positif dan berharap Muhammad Hawari dalam keadaan selamat dan boleh ditemui dalam misi SAR ini, selain mendoakan yang terbaik.

“Misi SAR giat dijalankan di semua tempat, kem dan setiap khemah, termasuk pencarian melalui darat dan udara,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Misi SAR yang memasuki hari keenam hari ini kini tertumpu di bahagian atas gunung dikenali sebagai ‘zon kematian’.

Ketika kejadian Hawari berada di kem empat selepas beliau berjaya menawan Everest pada Khamis 3.30 petang waktu Nepal.

Selepas tiba di kem empat kira-kira jam 1.30 pagi waktu Nepal pada Jumaat, Hawari meminta malim gunung memeriksa Leftenan Kolonel (PA), Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang berdepan masalah kesihatan pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Terdahulu Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak, 35, berkata Hawari ada memberitahu malim gunung bahawa beliau tidak berdepan sebarang masalah sebelum malim gunung itu meninggalkan Hawari dengan bekalan sebuah tangki oksigen yang boleh bertahan sehingga 12 jam.

Loading...
Terkini