comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Otai’ gunting rambut turun ilmu melalui karya ulung

Oleh Ain Shafiqah Zaki

TANJUNG MALIM: Pengalaman selama 17 tahun sebagai tukang gunting rambut benar-benar digunakan Pak Idris untuk menurunkan ‘ilmu’ kemahiran tatarias itu.

Pak Idris atau Mohamad Idris Kasim, 58, optimis menyebar luaskan pengetahuannya melalui penghasilan buku pertama di Malaysia.

Individu berjiwa besar ini mula mengorak langkah dalam dunia penulisan selepas menyedari tiada ‘kitab’ rujukan mengenai ilmu menggunting rambut di Malaysia.

“Bila customer (pelanggan) tanya abang mengajar pakai buku apa? Rujukan apa? Itu yang saya bermula berfikir nak buat buku tu, supaya senanglah ada kitab kan, tak sesat,” katanya kepada Buletin TV3.

Jelasnya, kemahiran menggunting rambut sering dipandang enteng oleh segelintir masyarakat negara kita.

Justeru, ia menjadi faktor kepada penerbitan buku berjudul ‘Menguasai Ilmu Asas Tukang Gunting Rambut’ itu.

Individu berjiwa besar itu berkata, buku pertamanya telah terjual hampir 3,000 naskhah.

Pak Idris mula berjinak-jinak dalam kerjaya menggunting rambut sejak tahun 80-an dan membuka kedai pertamanya 17 tahun lalu.

Berkecimpung dalam industri ini seawal 1981, Pak Idris pernah memiliki enam cawangan kedai gunting.

Namun, kekangan tenaga pekerja memaksa beliau menutup lima cawangan dan memfokuskan hanya sebuah kedai sahaja.

Sehingga hari ini, beliau masih menggunting rambut di kedainya yang terletak dalam kawasan Masjid Jamek Tanjung Malim.

Lokasi kedainya itu menjadi pilihan kepada kebanyakan jemaah masjid berkenaan dan beroperasi setiap hari.

“Kedudukan kedai Pak Idris ini strategik, selesai sahaja melakukan ibadah, jemaah boleh terus menggunting rambut,” ujar salah seorang pelanggannya kepada wartawan Buletin TV3.

Bagi Pak Idris, kemahiran menggunting rambut merupakan satu fardhu kifayah dan setiap kampung perlu ada sekurang-kurangnya satu kedai gunting rambut.

Loading...
Terkini