comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pakai topeng bertarung dengan asap

Norazilah Mamat, Raja Nurul Wahida Raja Ramlee dan Rosmaliana Yusoff memakai ‘topeng’ hasil inisiatif pengusaha mereka, Nor Azilah ketika proses membakar adunan kuih tradisional di Kampung Padang Tengir, Manir.

KUALA TERENGGANU: Gelagat sepasang suami isteri dan pekerja mereka menggunakan ‘goggle’ dan ‘safety particulate respirators’ ketika membakar kuih tradisional dilihat janggal.

Namun itulah kaedah digunakan mereka bagi menghalang penglihatan diselubungi asap tebal sepanjang proses pembakaran berlaku dan pada masa sama dapat membantu mereka bernafas dengan baik.

Nor Azilah Ali, 41, dari Kampung Padang Tengir, Manir dekat sini berkata dia menggunakan alat berkenaan kerana tidak tahan berdepan bahang api dan asap tebal sepanjang proses membakar kuih tradisional.

Menurutnya kuih bakar, akok, beker nyor dan bahulu yang dijual akan dibakar menggunakan tempurung kelapa, kayu api, arang dan sabut kelapa yang sememangnya mengeluarkan asap yang tebal.

Katanya, melihatkan keadaan itu, adik iparnya yang bekerja di dalam sektor minyak dan gas (OAG) menyarankannya menggunakan alat berkenaan.

“Saya membeli alatan ini di dalam talian dan ia mempunyai dua penapis iaitu yang tebal dan nipis di sebelah kiri dan kanannya,” katanya yang mewarisi pembuatan kuih tradisional itu daripada ibu saudara Zainab Ismail, 74, sejak lapan tahun lalu.

Tambah Nor Azilah, penapis nipis perlu ditukar dua kali sebulan manakala penapis tebal sekali sebulan dan kedua-duanya turut dibeli secara dalam talian.

Jelasnya lagi, sebelum ini dia membakar kuih muih berkenaan tanpa gunakan apa-apa alatan namun dengan menggunakan safety particulate respirators dan goggle membolehkannya berhadapan dengan asap tebal tanpa menyakitkan mata.

Katanya, walaupun terdapat pelbagai kaedah moden untuk membakar kuih berkenaan namun dia memilih untuk mengekalkan cara tradisional kerana kaedah itu menghasilkan aroma kuih yang berbeza.

Nor Azilah berkata sebagai contoh kuih baulu boleh dimasak menggunakan dapur gas namun kuih bakar tidak boleh kerana kuih itu perlu menggunakan bahan bakar di bahagian atas dan bawah kuih.

“Oleh itu, kaedah pembakaran amat perlu bagi memastikan kuih yang dihasilkan masak dengan sempurna sebelum dijual kepada pelanggan.”

Tambahnya, dengan menggunakan topeng itu, mata beliau dan pekerja di ruang pembakaran kuih tidak lagi berair.

“Mungkin orang lihat pelik dan mencuit hati kerana seolah-olah kami ini petugas yang hendak mengendalikan bahan kimia namun topeng inilah yang membolehkan kami ‘bertarung dengan asap’ dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.”

Menurutnya, musim cuti sekolah dan perayaan dia akan meningkatkan penghasilan kuih tradisional itu dan dalam masa sama pembakaran kuih juga akan meningkat dan dengan menggunakan alatan itu kerja dapat dilakukan dengan mudah.

Katanya, resepi dan penyediaan kuih tradisional berkenaan tetap sama namun yang berlainan hanya pekerja yang bekerja membakar kuih itu saja menggunakan alatan bagi melindungi daripada kesukaran berdepan asap tebal.

Tambahnya, dia menggunakan google dan safety particulate respirators sejak tiga tahun lalu dan akan terus menggunakan alatan berkenaan kerana dilihat memudahkan kerjanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini