comscore
Tumpuan :
Nasional

Palam pintu pesawat tercabut: CAAM sedia tawar bantuan kepada FAA AS

Foto: NSTP

KLANG: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menawarkan bantuan kepada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) berhubung palam pintu pesawat Alaska Airlines Boeing 737 Max 9 yang tercabut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, CAAM telah menghubungi pejabat FAA Asia-Pasifik di Singapura selepas pengesahan palam pintu dibuat di Malaysia oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) semalam.

“CAAM telah menghubungi FAA untuk menawarkan bantuan mereka berikutan laporan palam pintu itu disahkan dibuat di Malaysia.

“Bagaimanapun, mereka memberitahu akan merujuk kita semula sekiranya memerlukan sebarang bantuan.

Walaupun palam pintu itu dibuat di Malaysia, ia adalah komponen yang berada di bawah kelulusan FAA,” katanya selepas perasmian pelabuhan pelayaran antarabangsa pertama negara, Costa Serena di Klang, Selangor hari ini.

Semalam, NTSB mengesahkan palam pintu pesawat Alaska Airlines Boeing 737 Max 9 dikilangkan di Malaysia.

Pengerusinya, Jennifer Homendy, dilaporkan berkata pintu itu dikeluarkan oleh Spirit AeroSystems di Malaysia sebelum sampai kepada pembekal Boeing di Wichita, Kansas.

Dari situ, katanya, bahagian berkenaan dihantar ke barisan pemasangan Boeing di Renton, Washington, lapor Wall Street Journal (WSJ).

Homendy berkata, NTSB sedang meneliti cara pintu palam itu dikilangkan, diangkut, dipasang dan dimasukkan ke dalam perkhidmatan dan juga akan meliputi pemeriksaan kualiti sepanjang rantaian bekalan.

Loading...
Terkini