comscore
Tumpuan :
Nasional

Larangan terbangkan dron di kawasan persiapan, sambutan Hari Kebangsaan – CAAM

Foto: caa_malaysia/Instagram

PETALING JAYA: Penggunaan dron tanpa kelulusan di kawasan persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya adalah dilarang bermula dari 21 hingga 31 Ogos ini.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataannya  memaklumkan larangan itu antara lain bagi mengelak berlakunya risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjalankan latihan penerbangan formasi rendah di kawasan tumpuan sepanjang tarikh itu.

“Larangan penggunaan tersebut adalah bagi memastikan sambutan Hari Merdeka dapat diraikan dengan selamat dan mengelak kejadian tidak diingini membabitkan aspek keselamatan orang awam,” menurut CAAM.

CAAM menegaskan sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah tertakluk mengikut Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan Penerbangan Awam Malaysia dan Arahan Penerbangan Awam (CAD).

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini dengan tema “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.

Loading...
Terkini