comscore
Tumpuan :
Nasional

‘SPA buka jawatan kosong atas permintaan KKM’

Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) membuka permohonan jawatan tetap di Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan permintaan daripada kementerian berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata pihaknya menawarkan perjawatan baharu untuk diisi di KKM itu selepas dimaklumkan berhubung keperluan itu untuk tindakan lanjut pihak SPA seperti lazim dilakukan.

Bagaimanapun, beliau berkata, perincian berkenaan perjawatan yang ditawarkan adalah di bawah bidang kuasa KKM termasuk jumlah kekosongan yang dinyatakan.

“Kami membuka iklan perjawatan kosong itu mengikut permohonan daripada KKM, tetapi jumlah dan perincian perjawatan terbabit adalah di bawah bidang kuasa KKM, hanya KKM yang boleh menjawab bagaimana mereka boleh menyediakan perjawatan berkenaan,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman iklan hampir 5,000 jawatan kosong di KKM yang dibuka sehingga 21 Januari depan.

Sebelum ini, Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) mahukan kepastian daripada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan bekas menteri terdahulu, Khairy Jamaluddin berhubung kekosongan hampir 5,000 jawatan tetap yang mula diiklankan Jumaat lalu.

KKM mengiklankan 4,914 kekosongan membabitkan 4,263 jawatan bagi pegawai perubatan, 355 bagi pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.

Dr Zaliha berharap calon yang layak dapat membuat permohonan dan mengemukakan segera maklumat yang lengkap dan betul.

Sementara itu, Zainal Rahim berkata, pihaknya sedia maklum terdapat 15,000 petugas kesihatan yang sudah tamat latihan dan berkhidmat selama dua tahun dengan kerajaan.

Untuk rekod, Khairy pernah mengumumkan tambahan 4,000 jawatan tetap untuk doktor kontrak, pegawai pergigian dan ahli farmasi yang sudah diisi pada Oktober tahun lalu.

Khairy ketika itu turut berkata, kerajaan menjanjikan 1,500 jawatan tetap bertambah setiap tahun.

Loading...
Terkini