comscore
Tumpuan :
Nasional

Parkir, jual kereta di bahu jalan sesuka hati

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

KUALA LUMPUR: Disangkakan menghalang lalu lintas, rupanya ada yang meninggalkan kereta di bahu jalan untuk dijual.

Tinjauan Buletin TV3 siang tadi mendapati itu antara punca kesesakan berlaku di sepanjang jalan berhadapan Kementerian Dalam Negeri ke Mahkamah Syariah Jalan Duta.

Bahu jalan kedua-dua laluan yang dipenuhi kenderaan mengundang berlakunya pergeseran kereta dan juga kemalangan.

Lebih menyusahkan apabila berlakunya kecemasan akan menyukarkan urusan pasukan penyelamat untuk memasuki kawasan.

Yang menjadi tanda tanya ketika tinjauan dilakukan kawasan parkir disediakan masih banyak kosong, namun bahu jalan penuh dengan kenderaan sehingga ada yang parkir berlapis.

Perkara ini dipanjangkan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Muhammad Irwan Abdullah.

Menurut Muhammad Irwan, setakat tahun 2023 hingga 2024, sebanyak 906 notis kesalahan dikeluarkan dan terdapat 17 tindakan tunda dijalankan.

“Di lokasi ini memang kami sentiasa membuat tindakan secara harian.

“Saya nasihatkan juga kepada para pengguna yang menggunakan kemudahan agensi KDN agar menggunakan tempat letak kereta yang disediakan,” katanya.

Pihak berkuasa tempatan juga bertegas mempergiatkan tindakan fizikal iaitu dengan menunda kenderaan diletakkan di kawasan yang menghalang kelancaran lalu lintas.

“Jika ianya berterusan kita akan mengambil tindakan fizikal lah yang lebih banyak termasuk tunda ke atas kereta kereta yang meletakkan kereta selepas ini lah,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini