comscore
Tumpuan :
Nasional

PB rampas 645.75 tan beras pelbagai gred

Pegawai Kawalselia Padi dan Beras (KPB) memeriksa beras yang disimpan dalam sebuah gudang tidak berlesen di Sibu, Sarawak. – FOTO: Mohamad Sabu/ Facebook

KUALA LUMPUR: Sebanyak 645.75 tan beras pelbagai gred termasuk beras putih import (BPI) dianggarkan bernilai RM2.1 juta dirampas dari sebuah gudang dekat Sibu, Sarawak, minggu lalu.

Rampasan itu dibuat menerusi serbuan bersepadu di bawah Op Taring Bravo 3 dilakukan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA), pada 15 dan 16 Mei lalu.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata hasil pemeriksaan mendapati premis perniagaan terbabit tidak mempunyai lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“KPB menyita stok beras terbabit serta dokumen berkaitan bagi siasatan lanjut di bawah Akta 522 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 P.U (A) 624,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KPB, fokus siasatan turut meliputi sama ada syarikat berkenaan turut terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi iaitu beras putih import.

Kerajaan bersetuju memberi subsidi ke atas BPI bernilai RM950 per tan metrik di peringkat borong bagi Sabah, Sarawak dan Labuan dengan harga jualan runcit tidak melebihi RM31 per kampit bagi 10 kilogram, mulai 5 Oktober lalu.

Menurut kenyataan itu, KPB sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan negara dalam mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi mengekang cubaan menyeleweng BPI di Sabah dan Sarawak.

Ia termasuk cubaan membawa keluar beras tersebut dari sempadan negara.

“KPB memberi peringatan kepada semua pemegang lesen supaya mematuhi perundangan di bawah Akta 522 dan peraturan di bawahnya. Tindakan tegas akan diambil jika pemegang lesen gagal mematuhinya,” kata kenyataan itu lagi.

Orang awam diminta menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang mengenai padi dan beras melalui Portal Aduan KPB https://skpb.kpkm.gov.my/adu atau hubungi Ibu Pejabat KPB, Putrajaya di talian 03-88701751/1748/1183.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini