comscore
Tumpuan :
Nasional

PBAKL 2024 catat 1.8 juta pengunjung

Antara pengunjung yang hadir pada hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 mencatatkan peningkatan pengunjung kepada lebih daripada 1.8 juta orang berbanding jangkaan sasaran iaitu 1.5 juta orang.

Pengerusi Pengelola PBAKL 2024, Mohd Khair Ngadiron berkata peningkatan itu disokong oleh promosi menarik ditawarkan oleh pemain industri selain daripada judul buku baru yang meraih perhatian pengunjung untuk mendapatkannya.

Katanya, pemain industri juga kini dilihat semakin bijak dalam menarik perhatian pembaca untuk datang apabila turut membawa penulis di reruai supaya dapat beramah mesra dengan pengunjung.

“Dalam masa yang sama, saya juga berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pengumumannya yang luar biasa dalam pemberian baucar buku kepada pelajar sekolah adalah satu kejayaan kepada PBAKL 2024 kali ini.”

“Selama ini kita lihat bahawa usaha PBAKL banyak didukung dan dijayakan oleh pihak swasta serta peniaga, tetapi tahun ini Kerajaan MADANI memberikan satu rangsangan luar biasa.”

“Ini menunjukkan usaha PBAKL ini disambut baik oleh kerajaan selari dengan apa yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri untuk mewujudkan budaya membaca di kalangan setiap rakyat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

PBAKL 2024 melabuhkan tirainya hari ini selepas 10 hari berlangsung, yang turut menjadi acara tahunan dinanti-nantikan setiap orang.

Mohd Khair berkata beliau yakin perkara itu juga akan menjadi rangsangan baharu kepada industri perbukuan yang selama ini memang menantikan manfaat seperti itu.

“Industri perbukuan memang memerlukan galakan dan dorongan seperti ini dan apabila ia berlaku semua industri berkaitan sehinggalah di peringkat perkhidmatan penghantaran akan mendapat ‘durian runtuh’.”

“Tahun ini juga, berdasarkan tinjauan dilakukan, penjualan oleh penerbit juga meningkat antara 30 hingga 50 peratus untuk jualan buku dalam talian dan pembelian secara fizikal,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini