comscore
Tumpuan :
Nasional

Peguam mohon tertuduh kes bunuh kekasih hamil dirujuk ke psikiatri

Tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20, ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor pada 1 Jun 2023 atas pertuduhan membunuh seorang wanita hamil.

SUNGAI BESAR: Peguam yang mewakili seorang pemuda yang dituduh membunuh wanita hamil di Jalan Sungai Limau di sini, memohon supaya anak guamnya dirujuk ke hospital psikiatri.

Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20, mengemukakan permohonan itu ketika sebutan kes berkenaan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali, hari ini.

Beliau berkata, temu bual pihaknya bersama tertuduh, mendapati keadaan mental anak guamnya dilihat tidak stabil.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri, tidak membantah permohonan itu dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

“Saya serah kepada mahkamah, sama ada beri perintah tersebut di peringkat ini (Mahkamah Majistret), atau memikirkan bahawa ia suatu yang sesuai untuk ditentukan di mahkamah perbicaraan (Mahkamah Tinggi),” katanya.

Siti Hajar menetapkan 26 September depan untuk keputusan permohonan itu.

Pada 1 Jun lepas, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh mangsa berusia 21 tahun, di Jalan Sungai Limau di sini antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan, perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan di luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau di sini, 22 Mei, lepas.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, dilaporkan berkata, lelaki itu, yang juga bekas penuntut kolej membawa mangsa menaiki kereta dan bertengkar dengan wanita itu, sebelum mangsa dipukul di kepala dan dibunuh di lokasi berkenaan sekitar 10 malam.– BERNAMA

Loading...
Terkini