comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar maut, motosikal rempuh kereta

Foto ihsan PDRM

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta di Jalan Pegoh Dalam, Alor Gajah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, pelajar tingkatan tiga, Muhammad Azrief Karim, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di dada.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss berwarna hijau dalam perjalanan dari arah Pegoh Dalam menghala ke Masjid Pegoh.

Foto ihsan PDRM



“Secara tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandu seorang tukang cuci dari arah bertentangan membelok ke kiri untuk masuk ke rumahnya.

“Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Talib Karim itu gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar pintu di bahagian tempat duduk penumpang sebelah pemandu,” katanya.

Menurut Arshad, akibat tempuhan itu, mangsa terjatuh dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kata beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, pemandu kereta Perodua Kelisa warga emas berusia 61 tahun terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes berkenaan tambahnya, disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini