comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelakon era 70-an, Elias Augustine Lantau meninggal dunia

Elias Augustine Lantau ketika ditemui di Kampung Baru, Tuaran pada 2017.-Foto: NSTP

TUARAN: Bintang filem Melayu era 1970-an, Elias Agustine Lantau, 89 menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Barus Bohokon, di sini, kira-kira jam 11.54 pagi tadi.

Berita pemergian Elias Agustine disahkan oleh anak saudaranya, Mathew Leo, 60.

“Dukacita dimaklumkan Elias Augustine Lantau menghembuskan nafas terakhirnya pada hari ini 24 Mei 2024. Jenazah kini berada di kediaman keluarga di Kampung Barus Bohokon, Tuaran,” katanya, di sini, hari ini.

Mendiang Elias yang juga bekas atlet bina badan yang pernah meraih gelaran Mr Sabah, meninggalkan tiga anak lelaki dan empat cucu.

Isteri mendiang, Rosline Rangkat, meninggal dunia pada 2018.

Mendiang mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pelakon pertama daripada etnik Dusun Lotud atau Suang Lotud, Sabah berjaya menembusi dunia perfileman Melayu.

Mendiang bersara daripada dunia lakonan selepas membintangi filem Mat Salleh Pahlawan Sabah keluaran Sabah Film Productions pada 1983 dengan memegang watak utama sebagai Mat Salleh.

Watak Mat Salleh dalam filem terakhirnya itu memberi kesan besar kepadanya apabila peminat mula memanggil beliau sebagai Mat Salleh berbanding nama sebenarnya, Elias Agustine Lantau.

Sebelum itu, nama Elias sudah menjadi sebutan peminat filem melalui penampilannya dalam beberapa filem Melayu antaranya Puaka arahan Omar Rojik pada 1973, Si Buta (1975), Rashia Hati Ku (1975) dan Loceng Maut (1977).

Maria Arshad, Hussein Abu Hassan, Tamam Idris, Sharifah Hanim, Dali Siliwangi, Maznah Ahmad, Merdawatie, Mariati, Mak Enon, M Amin dan Ali Rahman adalah antara pelakon ternama yang pernah bergandingan dengan Elias.

Malah beliau juga pernah ditawarkan berlakon oleh Shaw Brothers Ltd bersama bintang filem terkenal Hong Kong, Chen Sing pada 1973.

Dalam sukan bina badan, Elias pernah meraih gelaran Mr Sabah sebanyak lima kali antara 1963 hingga 1973.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini