comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelanggaran undang-undang tidak boleh dihalalkan – Aktivis

Tular kisah penunggang p-hailing terpaksa berjalan sambil memikul beg makanan selepas motosikalnya disita JPJ dalam operasi di Nilai. – Foto Ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai undang-undang penguatkuasaan dan ia mesti dihormati semua pihak dengan tidak ‘mengagungkan’ sesiapa sahaja yang melanggar kesalahan jalan raya.

Justeru, aktivis pengguna jalan raya, Datuk Mohammad Hisham Shafie menegaskan, orang ramai tidak wajar menyalahkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menguatkuasakan undang-undang jalan raya susulan tular insiden motosikal seorang penunggang p-hailing disita dalam satu operasi.

Beliau yang juga mantan Presiden Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK) berkata, walaupun tidak dinafikan tugas penghantar makanan itu terpuji dan mencari rezeki yang halal namun hal berkaitan pelanggaran undang-undang tidak boleh dihalalkan.

Menurutnya, pengguna jalan raya perlu sentiasa beringat cukai jalan dan insurans itu penting kerana apabila berlaku apa-apa kemalangan diri dan kenderaan termasuk individu lain dilindungi.

“Kita kena pandang dari sudut undang-undang kerana salah tetap salah di mana ramai orang masih tidak faham apabila kenderaan yang diperiksa tidak memiliki cukai jalan dan insurans memang mengikut prosedur perlu disita.

“Hal ini supaya apabila disaman namun motosikal tidak disita, selepas itu berlaku insiden kemalangan atau melanggar orang kesalahan itu akan berpatah balik kepada JPJ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohammad Hisham berkata, jika itu berlaku orang ramai akan menyalahkan JPJ semula mengapa tidak menyita kenderaan berkenaan.

“Orang ramai hanya melihat dari satu sudut tetapi kesalahan menyalahi undang-undang itu jangan diagung-agungkan.

“Isunya nampak macam kecil, tak perbaharui cukai jalan dan insurans tetapi jika berlaku kemalangan dan ada kematian, orang lain tidak boleh membuat tuntutan insurans,” katanya.

Beliau juga menasihatkan jangan membudayakan tindakan sesetengah pihak yang tampil membeli motosikal baru kerana sepatutnya mendidik mereka untuk memperbaharui cukai jalan terbabit.

“Sepatutnya mereka membantu individu terbabit dengan ke JPJ dan memperbaharui cukai jalan, membayar saman dan membuat insurans baharu.

“Kita tidak tahu apa masalah dihadapi penghantar makanan terbabit sehingga dia tidak dapat memperbaharui insurans dan cukai jalan namun jika dibeli motosikal baharu tahun depan bagaimana pula dia akan menghidupkan cukai jalan itu,” katanya.

Katanya, masyarakat perlu dididik menghormati undang-undang dan tidak menyalahkan JPJ yang hanya menguatkuasa undang-undang.

“Boleh bertolak ansur jika cukai jalan dan insurans itu baru tamat tetapi jika sudah berbulan-bulan JPJ terpaksa menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Kisah penunggang p-hailing, Muhammad Shahrul Shah, 26, mendapat perhatian selepas tular gambar dan videonya berjalan kaki sambil menggalas beg makanan selepas motosikalnya disita dalam sekatan jalan raya oleh JPJ.

Beliau mengakui kesalahan itu dan menganggap apa yang berlaku sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, kurang 24 jam kisahnya tular, pempengaruh, Aisar Khaled tampil membantu.

Melalui beberapa hantaran di Facebook Aisar, pempengaruh itu telah membawa Muhammad Shahrul ke sebuah kedai dipercayai bagi membeli motosikal baharu untuk lelaki berkenaan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf dalam satu kenyataan menjelaskan tindakan sitaan itu diambil kerana cukai jalan motosikal Muhammad Shahrul sudah tamat tempoh sejak Februari lalu selain tiada insurans.

Menurutnya, ia atas tujuan menjaga keselamatan penunggang itu sendiri dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans.

Katanya, sitaan dijalankan ketika Operasi Statik di Jalan Persiaran Negeri, Nilai bertujuan mengesan kesalahan lalu lintas dilakukan pengguna jalan raya.

Loading...
Terkini