comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemancing temui mayat lelaki tempatan terapung di Sungai Langat

Tangkap layar mayat seorang lelaki warga tempatan terapung di Sungai Langat. – Foto ihsan pembaca

KUALA LANGAT: Seorang pemancing menemui mayat seorang lelaki tempatan terapung di Sungai Langat berhampiran Kampung Labohan Dagang, Bukit Changgang, Banting di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam berhubung penemuan mayat terapung itu kira-kira jam 12.15 tengah hari semalam.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa adalah seorang lelaki tempatan memakai baju berwarna biru dan berseluar jeans warna biru.

“Mayat mangsa ditemui oleh seorang lelaki Orang Asli yang sedang memancing di sungai terbabit.

“Menurut saksi, dia melihat mayat berkenaan dalam keadaan tertiarap dan terapung di sungai.

“Saksi menggunakan sebatang kayu untuk menarik mayat itu ke tepi sungai bagi mengelakkan hanyut sebelum menghubungi polis dan memaklumkan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, siasatan polis mendapati tiada kecederaan dilihat secara mata kasar pada mayat mangsa dan terdapat dokumen pengenalan diri mangsa di dalam seluarnya.

“Berdasarkan maklumat pengenalan diri itu, mangsa seorang warga tempatan berumur 28 tahun. Mangsa yang beralamat di Kuala Selangor bekerja sebagai pemandu lori.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Banting untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa. Kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini