comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu treler ditahan polis  jual minyak diesel bersubsidi  di sebuah premis

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman @Abd Rahim (kiri) melihat sebuah treler yang dirampas kerana disyaki menjual minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Bedong. (Foto Zuliaty Zulkifli)

SUNGAI PETANI: Seorang pemandu treler ditahan polis ketika cuba memindahkan minyak diesel bersubsidi dari sebuah treler ke dalam dua buah lori di sebuah premis di Bedong, di sini, hari ini.

Minyak diesel berkenaan sepatutnya dihantar ke Kuala Kedah untuk kegunaan nelayan di kawasan itu.

Polis turut menahan pemilik premis terbabit untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman @ Abd Rahim berkata, hasil siasatan mendapati treler itu dipercayai milik Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah dipandu lelaki tempatan berusia lewat 30-an itu.

Beliau berkata, serbuan itu adalah hasil maklumat dan risikan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda bermula jam 10.50 pagi hingga 1.40 petang hari ini.

“Pasukan dari Cawangan Khas IPD Kuala Muda berjaya melakukan tangkapan dan rampasan berkaitan penyeludupan minyak diesel bersubsidi di lokasi terbabit.

“Sebaik tiba di premis itu, pasukan operasi mendapati, dua lelaki terbabit  sedang melakukan aktiviti memindahkan minyak diesel dari treler terbabit ke dua buah lori.

“Susulan itu, polis menahan kedua-dua suspek terbabit dan hasil pemeriksaan di dalam sebuah lori yang diperiksa menemui cecair disyaki minyak diesel anggaran isipadu 800 liter manakala sebuah lagi lori menemui cecair disyaki minyak diesel anggaran 2,100 liter,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda, hari ini.

Anuar berkata, pemeriksaan lanjut dalam treler itu pula menemui cecair disyaki cecair disyaki minyak diesel dianggarkan sebanyak 27,000 liter.

Beliau berkata, pihaknya melakukan tangkapan dan rampasan terhadap kedua-dua individu itu serta treler berkenaan bersama dua buah lori yang mengandungi minyak diesel bersubsidi berjumlah 29,900 liter.

“Harga nilai rampasan minyak diesel adalah lebih kurang RM 44,991.84.Kesemua barangan terbabit disita dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM149, 991.84,” katanya.

Anuar berkata, pemandu treler milik PNK Kuala Kedah itu disyaki mengambil minyak diesel subsidi terbabit dari di sebuah depoh minyak di kawasan Perai Pulau Pinang untuk dibawa ke PNK Kuala Kedah bagi kegunaan nelayan kawasan Kuala Kedah.

Beliau berkata, namun dalam perjalanan, pemandu terbabit dipercayai singgah di lokasi terbabit di Bedong untuk menjual sedikit minyak diesel bersubsidi dengan bayaran RM250 bagi setiap 200 liter.

“Pemilik premis berusia 40-an itu mengaku membeli minyak diesel subsidi terbabit daripada pemandu treler berkenaan.

“Kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kuala Muda m mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya lagi, kes akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sungai Petani mengikut  Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu katanya, pihak polis memohon kepada orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu siasatan. “Sebarang pertanyaan boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di Talian 04- 4299222,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini