comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemuda maut motosikal langgar kereta rosak

Keadaan motosikal mangsa selepas terlanggar kereta rosak di lorong kecemasan di Kilometer 78.1 Lebuhraya Utara Selatan. – FOTO: Ihsan PDRM

SUNGAI PETANI: Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar sebuah kereta rosak di lorong kecemasan di Kilometer 78.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, awal pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Faris Mohamad Zaini, 19, dari Taman Kiara Mas, Pendang yang cedera parah di badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata kemalangan dipercayai berlaku   jam 3.30 pagi apabila motosikal Yamaha Y15  mangsa dari arah Gurun menghala ke Alor Setar melanggar kereta jenis Mazda.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal terbabit dipercayai melanggar kereta yang ketika itu berada di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.

“Impak perlanggaran yang kuat itu menyebabkan penunggang motosikal maut serta-merta di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaidy berkata, pemandu kereta berusia 41 tahun itu dipercayai sudah meletakkan tanda kon di tempat kejadian selepas kereta itu rosak.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Pemandu kereta dari Kangar, Perlis itu tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Loading...
Terkini