comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemutihan sekolah agama bukan untuk tutup institusi berkenaan

Foto hiasan

SHAH ALAM: Kerajaan negeri menafikan tuduhan kononnya proses pemutihan sekolah agama persendirian dan tahfiz dilaksanakan di Selangor ketika ini sebagai langkah menutup institusi berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata tuduhan tidak berasas itu sebaliknya cubaan untuk memburukkan usaha murni kerajaan negeri dalam mengangkat kualiti dan taraf sekolah agama persendirian di negeri ini.

Katanya, usaha sedang dilakukan kerajaan negeri disalah tafsir sesetengah pihak sebagai cubaan untuk menghentikan usaha dakwah.

“Kerajaan negeri turut menafikan tuduhan berniat jahat terhadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, sebagai dalang yang cuba menutup tahfiz persendirian di Selangor.

“Langkah proaktif ini dijalankan sejak 2019 bagi menyediakan garis panduan pemutihan sekolah agama (tahfiz) persendirian.

“Usaha ini selari titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang gusar terhadap peningkatan kejadian malang terutama selepas tragedi kebakaran melanda sebuah sekolah agama persendirian yang meragut 23 nyawa dan mencederakan lima murid pada 2018,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau berkata, garis panduan dibangunkan kerajaan negeri diluluskan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor pada 21 Disember 2020 dan mula dikuatkuasakan 1 Januari 2021.

Jelasnya, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari juga mengarahkan sebuah Jawatankuasa Pasukan Petugas ditubuhkan bagi membantu menyelaras proses pemutihan semua sekolah agama persendirian di Selangor.

Beliau yang mempengerusikan jawatankuasa berkenaan, berkata semua sekolah agama diberi tempoh masa dua tahun untuk memenuhi syarat ditetapkan.

“Namun 416 sekolah memohon tempoh masa dilanjutkan dan kami memperuntukkan tambahan tiga tahun bagi program pemutihan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, usaha murni kerajaan negeri turut mendapat sokongan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 sekolah agama persendirian.

Loading...
Terkini