comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencarian Hawari di Gunung Everest diteruskan

Muhammad Hawari berjaya menawan puncak Everest sebelum dilapor hilang pada Jumaat – FOTO: Ihsan ME 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang menghulurkan bantuan yang sewajarnya untuk membawa turun jenazah anggota Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Allahyarham Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacob dari Gunung Everest.

Ia termasuk misi mencari seorang lagi pendaki, Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang di pergunungan itu juga sedang giat dijalankan.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, Muhammad Hawari yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dipercayai sudah tiba ke puncak gunung sebelum dilaporkan hilang semasa mendaki turun.

“Mangsa dipercayai berjaya sampai di puncak Gunung Everest dan bergerak turun selepas itu namun masih belum dapat dikesan sehingga kini.

“Wakil kedutaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang sedang giat menjalankan usaha pencarian mangsa di sekitar kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, cubaan membawa turun jenazah Allahyarham Leftenan Kolonel Awang Askandar yang merupakan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah juga sedang diusahakan.

Beliau meninggal dunia pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengah hari waktu Malaysia) semalam, selepas terjatuh pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut, semalam.

Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak berkata, ketika kejadian Allahyarham bersama Muhammad Hawari, 33, sedang melakukan pendakian dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai di puncak.

Katanya, selepas jatuh, Allahyarham dibawa ke kem empat dengan bantuan malim gunung untuk rawatan dan dilapor meninggal dunia.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini