comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk dah tak tahan dengan pencemaran bau

Penduduk Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang mendakwa bau busuk berpunca dari Sungai Selangkah yang terletak berhampiran kediaman mereka. Foto NSTP

PASIR GUDANG: Kira-kira 100 penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Selangkah di Jalan Seluang, Taman Tanjung Puteri Resort di sini meluahkan rasa bimbang dengan masalah pencemaran bau yang berulang kebelakangan ini.

Seorang penduduk, Mohd Shah Md Ali Hanafiah, 41, berkata penduduk yang menghuni di kira-kira 30 kediaman terletak pada jarak 100 meter dari sungai berkenaan sudah tidak tahan dengan situasi berkenaan.

Menurut Mohd Shah, permasalahan berkenaan bukan baharu namun ia semakin serius dan dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan orang ramai terutama warga emas dan kanak-kanak.

Katanya, kejadian berulang sejak 7 pagi hari ini yang mana bau umpama kimia semakin kuat sehingga menusuk hidung walaupun pintu dan tingkat rumah ditutup.

“Saya sudah tinggal di kawasan ini sejak 13 tahun lalu dan macam-macam bau boleh dihidu termasuk bau seperti sabun, cat dan bau pekat umpama kimia,” katanya.

Jelas Mohd Shah, beliau sudah membuat aduan kepada wakil rakyat dan agensi berkaitan supaya siasatan dijalankan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mastura Sameon, 45, berkata air sungai berkenaan juga didapati berubah dan lebih keruh apabila berlaku pencemaran bau.

Menurut Mastura, dia tidak menolak kemungkinan ada pihak yang mencemari sungai itu.

“Sebagai penduduk, kami menjadi mangsa dan kami juga bimbang dengan eko sistem berkenaan akan terjejas.”

“Sepatutnya sungai di sekitar perumahan dipelihara dan dipulihara sebaliknya bukan dicemari,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan di lokasi aduan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini