comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk desak kerajaan Pulau Pinang batal bina asrama pekerja asing

Lebih 1,000 penduduk termasuk wakil parti politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mendesak kerajaan Pulau Pinang membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing di kawasan Teluk Kumbar. – FOTO: NSTP

BAYAN LEPAS: Lebih 1,000 penduduk termasuk wakil parti politik mendesak kerajaan Pulau Pinang membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing di kawasan Teluk Kumbar dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar, Datuk Profesor Emiritus Dr Muhammad Idiris Saleh berkata, mereka konsisten menolak pelaksanaan projek itu sejak 2021 dan ia adalah bantahan terbesar selepas mendapat tahu pemaju sudah memohon kebenaran merancang (KM) pada 27 Jun lalu.

“Kami mahu kerajaan negeri memberikan keputusan tegas sama ada mereka mahu batalkan terus projek itu atau tidak. Ketika ini, kami memilih saluran demokrasi dengan menyuarakan bantahan. Kalau mereka ingin teruskan juga kami akan mengkaji apa langkah yang harus diambil termasuk mempertimbangkan tindakan undang-undang.

“Kerajaan negeri sepatutnya mempunyai kuasa autonomi untuk membatalkan projek itu. Sekarang wakil rakyat juga ikut membantah dan wakil rakyat kita ini berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. Jadi kita perlu menegakkan demokrasi yang menjurus kepentingan rakyat,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Muhammad Idiris yang juga Pengerusi Kariah Masjid Maqbul Teluk Kumbar kesal kerana pihak yang ingin membangunkan asrama pekerja asing terbabit seolah-olah hanya melihat faktor ekonomi dan mengenepikan impak sosial akibat kebanjiran kira-kira 30,000 warga asing selepas projek itu siap kelak.

Profesor dari Pusat Pengajian Sains Kimia Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, masyarakat setempat kini bimbang dan tidak dapat membayangkan mereka akan berkongsi kemudahan serta prasarana dengan sebegitu ramai pekerja warga asing terutamanya selepas kawasan itu berdepan masalah gangguan air selama lebih seminggu baru-baru ini.

“Budaya mereka jauh bezanya dengan kita. Semasa tiada air tempoh hari, mereka mandi di tepi jalan selepas ambil air dari tangki. Mereka juga akan menggunakan kemudahan awam yang disediakan rakyat termasuk membeli barang subsidi sedangkan rakyat bayar cukai dan bermacam bil tetapi mereka bila dapat gaji kebanyakannya dihantar ke kampung halaman masing-masing.

“Selain itu, kemudahan perbankan dan premis kiriman barang serta tempat ibadat bukan saja terbatas di Teluk Kumbar malah sekarang tidak mencukupi. Justeru, lambakan pekerja asing untuk berkongsi prasarana akan menimbulkan kesan negatif kepada penduduk tempatan.

“Kita juga bimbang akan berlaku peningkatan jenayah sesama mereka ditambah faktor bilangan penghuni yang ramai serta padat dalam kalangan manusia terkurung adalah suatu perkara yang sukar dibendung,” katanya yang menetap di Teluk Kumbar lebih 25 tahun.

Beliau turut mempersoalkan berapa buah bas atau kenderaan yang diperlukan untuk menghantar pekerja asing berkenaan dari asrama ke kilang dengan ketika ini hanya ada satu jalan utama digunakan penduduk untuk keluar dari kawasan Teluk Kumbar.

“Bayangkan juga kalau mereka dibahagikan kepada dua syif. Satu syif ada kira-kira 15,000. Bayangkan betapa sesaknya satu-satunya jalan utama yang kami gunakan sekarang dengan penduduk di Teluk Kumbar sahaja ada lebih 30,000 orang dan hampir menyamai jumlah warga asing terbabit,” katanya

Terdahulu, orang ramai berkumpul dengan membawa sepanduk berhampiran sebidang tanah seluas kira-kira 0.8 hektar yang dikatakan bakal menjadi menjadi tapak membina asrama pekerja asing terbabit dengan memorandum turut diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz.

Loading...
Terkini