comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PSI : Hanya satu pulau akan ditambak – Chow 

 

Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk mengecilkan projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dengan penambakan hanya satu pulau buatan iaitu ‘Pulau Silicon’ dan membatalkan penambakan dua lagi pulau yang dicadangkan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata keputusan itu diambil selepas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkecilkan skop tambakan laut yang menerima bantahan daripada komuniti nelayan dan aktivis alam sekitar.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Katanya, dengan keputusan itu, keluasan tambakan dikurangkan kepada 2,300 ekar berbanding 4,500 ekar sebelum ini.

“Dengan keputusan ini hanya 115 nelayan akan terkesan berbanding 496 nelayan jika kesemua tiga pulau ditambak seperti dirancang.

“Pembangunan Pulau Silicon akan mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan sepenuhnya,” kata beliau pada  sidang media di KOMTAR, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, langkah kerajaan negeri ini selari dengan hasrat kerajaan pusat yang bersetuju untuk membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri berkenaan tanpa bergantung pada projek PSI.

Menurut Chow,  ‘Pulau Silicon’ (Pulau A) seluas 2,300 ekar akan dilaksanakan dalam dua  fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan .

Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang atau Penang South Islands (PSI) sebelum ini menerima lampu hijau daripada Kerajaan Pusat apabila Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekiling (EIA) diluluskan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Kelulusan itu bagaimanapun berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

 

Loading...
Terkini