comscore
Tumpuan :
Nasional

SAR Hawari: Kerajaan Pulau Pinang sumbang RM500,000   

FOTO: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow/ Facebook

Tasek Gelugor: Misi pencarian pendaki OKU negara, Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang selepas berjaya menawan Gunung Everest, sejak Jumaat lalu mendapat sumbangan RM500,000 daripada Kerajaan Pulau Pinang.

Ia bagi menampung kos berkaitan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki berkenaan.

Peruntukan itu diumumkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow  ketika melawat keluarga Hawari di Kampung Permatang Kerai Besar di Kepala Batas, malam tadi.

Kon Yeow berkata, sumbangan itu diputuskan melalui Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang sebulat suara bersetuju dalam meringankan beban kos SAR Muhammad Hawari.

FOTO: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow/ Facebook

“Mesyuarat Exco memutuskan untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 atau RM0.5 juta yang akan disalurkan kepada kelab berwajib sebagai perbelanjaan pengurusan SAR ini.

“Pada masa sama, kerajaan negeri akan terus mengikuti perkembangan SAR Muhammad Hawari yang juga kakitangan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) secara dekat dan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebooknya.

Dalam lawatan malam tadi, Kon Yeow diiringi Pengarah LMNPP, Haryany Mohamad.

Ketika lawatan itu, Kon Yeow juga menjelaskan kepada keluarga Muhammad Hawari mengenai inti sesi telesidang pada Selasa bersama-sama Ketua Misi Ekspedisi Malaysia ke Gunung Everest, Azim Afif Ishak mengenai operasi SAR Muhammad Hawari yang ditetapkan sehingga Ahad ini.

“Kita serahkan kepada pasukan SAR untuk melakukan SAR di sana, Haryany akan menjadi wakil penghubung dengan pihak SAR dan kelab (berwajib) di sana,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow turut menyampaikan sumbangan khas daripada beliau sendiri kepada isteri Muhammad Hawari Hashim, iaitu Safiyyah Tang Xie Li.

Hawari yang menyertai misi pendakian Gunung Everest dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

Beliau yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dipercayai hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu pada 18 Mei.

Mangsa adalah ahli kumpulan sama yang menyertai Malaysia Everest 2023 (ME 2023) bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia selepas terjatuh pada ketinggian 8,000 meter.

Loading...
Terkini